PARLIMEN: SPAD kaji bina landasan kembar

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempertimbangkan untuk membina landasan berkembar di atas rekaan trek dwiformasi sedia ada bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata kajian bagi projek sepanjang 688 kilometer bernilai RM55 bilion itu, dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).
"Awalnya projek ini hanya membabitkan landasan tunggal atas rekaan trek dwiformasi, tetapi ada kajian baharu sedang dilaksanakan SPAD dan MRL bagi melihat keperluan dibuat landasan berkembar.
"Hasil kajian akan diumumkan dalam masa terdekat. Sudah tentu pertimbangan kita membabitkan kos dan keputusan awal sebelum ini mengambil kira aspek kelajuan, keselamatan dan keselamatan.
"Namun jika landasan berkembar, sudah tentu pengurusannya lebih cekap dan lebih baik, terutama dalam aspek jadual serta kelajuan," katanya ketika menggulung ucapan Menjunjung Kasih Titah Yang di-Pertuan Agong, di Dewan Rakyat, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan projek ECRL yang bakal menghubungkan Kelantan dan Pelabuhan Klang, Selangor itu hanya membabitkan landasan tunggal, namun trek kereta api itu akan dibina di atas rekaan formasi dua landasan.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri ketika sesi penggulungan berasingan berkata, SPAD sudah menubuhkan jawatankuasa siasatan bagi meneliti punca gerabak tren kargo tergelincir di Stesen Bank Negara di sini, November tahun lalu.
Katanya, jawatankuasa membabitkan beberapa pakar dalam industri kereta api itu, meneliti aspek keselamatan, operasi, penyelenggaraan dan lain-lain.
"Siasatan berkaitan kegelinciran berhampiran Bank Negara berada di peringkat akhir untuk dimuktamadkan. Syor dan saranan akan diberikan selepas siasatan tamat," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment