Lambakan sayur Thailand jejas petani tempatan

KUALA NERUS: Lambakan pelbagai jenis sayur dari Thailand di negeri ini membuatkan petani tempatan mengeluh pendapatan mereka terjejas.
Ini kerana hasil pertanian yang diusahakan oleh petani tempatan sepatutnya boleh dijual dengan harga lebih tinggi kerana segar dan berkualiti, namun terpaksa dijual pada harga rendah berikutan masalah lambakan itu.
Petani, Mohd Hanif Omar, 39, dari Wakaf Mensira berkata, kemasukan hasil pertanian dari Thailand menyebabkan harga jualan petani kepada peraih terlalu rendah.
"Semua petani terkesan dengan masalah ini. Justeru kami berharap perubahan dilaksanakan pihak bertanggungjawab bagi membendung masalah ini.
"Hasil daripada jualan sayur yang diperoleh tidak seberapa akibat kemasukan hasil pertanian dari luar terlalu banyak dan tidak terkawal.
"Kami sedia maklum langkah mengeksport sayur dari luar dilakukan sejak dulu, namun ia perlu dikawal supaya tidak menjejaskan petani tempatan," katanya ketika ditemui di kebunnya, hari ini.
Hanif berkata, petani tempatan memperoleh sedikit keuntungan setiap Oktober hingga Disember kerana dalam tempoh itu tiada pengambilan sayur dari luar berikutan musim banjir.
"Justeru, ia membuktikan kemasukan sayur dari luar menyebabkan harga jualan petani merosot.
"Saya berharap masalah ini dipandang serius oleh semua pihak dalam menjaga kebajikan petani tempatan.
"Biarpun saya baru sahaja menceburi bidang pertanian, kami bernasib baik kerana tanaman terjual hasil bantuan Jabatan Pertanian Negeri yang diketuai Pegawai Pertanian Kuala Terengganu, Sidek Husin," katanya.
Sementara itu, petani, Mohd Alias Ismail, 39, berkata, dia memperoleh sebanyak 876 kilogram (kg) terung dan 360 kg bendi bagi setiap musim.
"Saya pernah menjual bendi dengan harga RM8 sekg, namun faktor lambakan bendi dari luar menyebabkan harga jualan secara borong menurun kepada RM6 sekg.
"Jika masalah kemasukan sayur dari luar ini berterusan, ia secara tidak langsung akan membunuh kegiatan pertanian tempatan," katanya.
Menurutnya, dia bimbang sekiranya masalah itu tidak dibendung di peringkat awal, segala hasil pertanian tempatan tidak akan terjual.
"Apabila terlalu banyak sayur dari luar memasuki pasaran tempatan dan dijual dengan harga sangat rendah, hasil pertanian tempatan mungkin akan dipinggirkan nanti," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment