Lexis Hibiscus sambut Earth Hour

PORT DICKSON: Kira-kira 2,400 pengunjung Hotel Lexis Hibiscus, di sini 'cemas' apabila bekalan elektrik di hotel itu 'terputus' menyebabkan mereka terpaksa bergelap selama sejam, malam semalam.
Bagaimanapun ia hanyalah gimik pada sambutan Earth Hour atau Hari Bumi yang diraikan serentak di kebanyakan negara bermula jam 8.30 hingga 9.30 malam.
Penolong Pengurus Komunikasi Hotel Lexis Hibiscus, Jini Sebastian berkata, program itu bertujuan menyahut saranan supaya sayangkan bumi dan menjimatkan tenaga.
"Pada malam ini (tadi) kami mematikan lampu selama 60 minit yang bertujuan menjimatkan tenaga.
"Kami mahu pengunjung dan orang ramai menghayati betapa pentingnya bumi ini kepada manusia," katanya ketika ditemui pada majlis itu, di sini.
Menurut Jini, sebaik hotel bergelap pengunjung menyalakan lilin yang disediakan di lobi bagi menunjukkan cahaya sememangnya penting.

"Program ini mengajar mereka menghargai bumi, memelihara alam sekitar dan menjaga keindahan sedia ada. Ini program pertama kita dan akan diadakan lebih meriah tahun depan," katanya.
Jini berkata, sementara itu di tepi pantai hotel berkenaan, pengunjung disajikan dengan persembahan demonstrasi api yang dilakukan oleh 12 kakitangan.
"Mereka seterusnya dipersembahkan tarian pantai yang diselitkan muzik yang menyemai sifat keamanan dan penjagaan bumi," katanya.
Menurutnya, pengunjung yang hadir terhibur malah turut sama menyertai aktiviti di tepi pantai sebagai sokongan terhadap sambutan berkenaan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment