OKU mohon bantuan rumah

Sunday, March 25, 2018

OKU mohon bantuan rumah

OKU mohon bantuan rumah

SERI ISKANDAR - “Mulanya saya diamkan sahaja tentang penyakit yang saya alami kerana tidak mahu kehilangan kerja.

“Lama kelamaan orang mula perasan ditambah pula saya sendiri kadang-kala tersilap ketika membuat kerja,” demikian kata Anifirdaus Anif, 35, yang mengalami masalah glukoma hingga menyebabkan mata kanannya menjadi buta manakala mata kiri pula kabur.

Anifirdaus mengalami masalah itu sejak 2007 namun ia semakin serius pada 2011 hingga sebelah matanya buta.

“Saya terpaksa berhenti kerja namun saya tetap bekerja kampung untuk menyara keluarga,” katanya yang tinggal di Perumahan Kos Rendah Fasa 1 Desa Seri Iskandar, di sini.

Anifirdaus berkata, dia kini sedang mengikuti kursus di rumah Persatuan Orang Buta Malaysia di Gunung Rapat dalam bidang refleksologi.

“Saya sudah mengikuti kursus ini sejak awal tahun lalu sebagai persediaan memandangkan saya kini tidak mampu untuk melakukan kerja lain lagi.

“Sebelum ini kami tinggal di kampung. Kami baru sahaja berpindah ke taman perumahan ini dan nasib kami baik kerana Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPA Changkat Sodang sudi membantu,” katanya yang mempunyai tiga orang anak berusia antara setahun hingga enam tahun.

Katanya, masalah glukoma yang dihidapinya itu dikatakan sukar untuk sembuh disebabkan ia melibatkan saraf mata dan hanya dibekalkan ubat untuk menahan tekanan mata.

Katanya, mereka kini bergantung hidup dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM550 sebulan iaitu bantuan untuk orang kurang upaya (OKU) dan bantuan persekolahan anak-anak.

“Isteri saya Norazlina Nayan Azali, 29, juga kadang-kala mengambil upah bekerja dengan pihak katering pada hari minggu.

“Namun begitu, dia juga kurang sihat kesan daripada tiga pembedahan ketiga-tiga anak kami dulu,” katanya.

Katanya, mereka merayu pihak berkenaan untuk mendapatkan bantuan rumah kerana khuatir tidak mampu membayar sewa rumah.

“Saya masih tidak bekerja. Jika boleh saya merayu agar diberikan bantuan rumah memandangkan anak-anak saya semakin membesar,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) RPA Changkat Sodang, Zulkifli Md Shafiee berkata, masalah keluarga itu sudah dipanjangkan kepada pusat khidmat Ahli Parlimen Parit dan pusat khidmat Dun Bota selain pihak JKM.

“Saya berharap ada pihak yang sudi membantu keluarga ini bagi meringankan beban mereka.

“Kami melalui KRT juga akan sedaya-upaya membantu dan mereka yang mahu menyalurkan bantuan boleh berjumpa saya untuk maklumat lanjut atau datang terus ke rumah keluarga berkenaan,” katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment