Jangan nafikan hak sekolah luar bandar

Sunday, March 18, 2018

Jangan nafikan hak sekolah luar bandar

Jangan nafikan hak sekolah luar bandar

BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hak sekolah luar bandar mendapat bantuan dan kemudahan setara dengan sekolah di bandar tidak wajar dinafikan.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pelajar luar bandar mampu mencatat keputusan akademik lebih cemerlang jika sekolah mereka diberi kemudahan mencukupi seperti di bandar.

"Hak sekolah luar bandar mendapat bantuan dan kemudahan secukupnya dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah tidak boleh dinafikan oleh mana-mana pihak.

"Malah, ada sesetengah sekolah luar bandar didapati menunjukkan prestasi lebih baik berbanding sekolah bandar seperti di Bagan Datuk, apatah lagi jika peralatan (komputer) digunakan, pasti prestasi pada masa depan lebih cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemberian Sumbangan Komputer dan Bahan Bacaan Kepada Sekolah Menengah dan Murid Tadika Parlimen Bagan Datuk di Kampung Sungai Nipah Darat di sini, hari ini.

Sumbangan Pengarah Urusan MHC Plantation Berhad, Tan Sri Mah King Thian, itu diserahkan kepada enam sekolah menengah, 25 sekolah rendah, dua maahad tahfiz dan 17 tadika pada program anjuran Kelab Rotary Teluk Intan dengan kerjasama Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya serta King Thian.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk, berkata agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama menyediakan kemudahan kepada sekolah luar bandar.

Katanya, sekolah luar bandar perlu diberi hak setara mendapat bantuan dan kemudahan secukupnya, terutama alat bantuan mengajar dalam membantu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah masing-masing.

"Penyerahan bantuan hari ini adalah penterjemahan pelajar dan murid dari luar bandar juga perlu dilengkapi segala kemudahan.

"Bukti memperlihatkan prestasi akademik di luar bandar kini adalah lebih baik berbanding bandar seperti mana sekolah di Bagan Datuk ini yang mencatat keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) luar biasa, baru-baru ini," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment