Insiden kapal korek: Kawasan pencarian diperluas

MUAR: Radius kawasan pencarian diperluaskan hingga 190 batu nautika di kawasan kapal JBB Rong Chang 8 dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa berikutan penemuan mayat hanyut dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sebelum ini, di sini.
Timbalan Pengarah Maritim (Operasi) Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Kapten Sanifah Yusof berkata, bilangan penyelam daripada pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan penyelam profesional daripada syarikat swasta kini berjumlah 70 orang.
Katanya, aset milik pelbagai agensi dan jabatan dikerah melaksanakan misi SAR yang kini memasuki hari keempat dan pihak berkuasa masih menaruh harapan tinggi selain berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari mangsa yang terselamat selain menyerahkan kepada takdir soal maut.
"Kedudukan kapal berkenaan kini berada dua batu nautika daripada pantai Parit Jawa di sini berbanding 8.5 batu nautika sebelum ini.
"Hari ini hari keempat SAR dilaksanakan menerusi operasi penyelaman untuk melihat lagi bahagian dalam kapal dan memastikan ada atau tidak mangsa yang terselamat. Dalam masa sama kapal serta helikopter sedang buat pemantauan di sekitar kawasan kapal berkenaan dilaporkan tenggelam.
"Mereka membuat rondaan untuk mencari ada mangsa atau terkeluar daripada kapal dan jika ada akan dapatkan mayat berkenaan
"Kita akan terus mencari dan mengharap ada penemuan lagi mangsa yang masih hidup dalam kapal dan operasi bermula 7 pagi hari ini," katanya pada sidang media di pusat operasi SAR di Parit Jawa di sini hari ini.
Beliau berkata, pihaknya sudah memeriksa hampir 90 peratus kawasan dalam badan kapal dan melakukannya berulang-ulang bagi mengesan seterusnya menyelamatkan mangsa.
"Kita bukan hanya mencari berdasarkan bunyi ketukan dan tidak semestinya jika mangsa mengetuk kami boleh mendengar kerana kawasan air tidak sama seperti berada di darat.
"Operasi dijalankan 24 jam dan tidak hentikan sampai sekarang dan semua mayat (empat mayat) yang ada dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar, untuk bedah siasat dan pengecaman," katanya.
Beliau berkata, setakat ini pihaknya masih memilih kaedah pertama iaitu menyelam memandangkan penemuan yang positif dan situasi masih terkawal.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment