Henti guna FB, WhatsApp bantu kejayaan dalam SPM

PASIR MAS: "Pada tahun lalu, saya menutup semua media sosial termasuk Facebook dan aplikasi WhatsApp, demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran sebagai persediaan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Perkara itu dibuat kerana sedar media sosial itu akan melalaikan saya hingga tidak fokus dalam mengulangkaji mata pelajaran," kata pelajar terbaik Kelantan, Arif Syahmi Alias, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati yang mendapat keputusan 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017.
Anak yatim yang kehilangan ayah, Alias Abdul Razak, 53, akibat penyakit buah pinggang lima tahun lalu, berkata menjadi harapan keluarga terutama ibunya, Norlehah Jamon, 55, yang bekerja sebagai guru untuknya menjadi pelajar cemerlang.
Arif Syahmi yang juga anak bongsu daripada empat beradik, berkata ketiadaan ayah membuatkan dirinya lebih kuat dan tabah mengharungi kehidupan.
"Dalam pelajaran, saya fokus sepenuhnya ketika guru mengajar dan jika tidak faham, terus bertanya serta mengulang kaji di rumah.
"Saya tidak meniru ketika membuat kerja rumah yang diberi guru kerana ia akan menjadikan kita lemah dalam mata pelajaran," katanya ketika ditemui di SMKA Lati, di sini, hari ini.
Dalam keputusan SPM 2017, SMKA Lati adalah di antara 24 sekolah terbaik di Kelantan dengan sembilan pelajarnya mendapat keputusan 11A.

Pelajar, Nor Amilia Haris, 18, yang mendapat keputusan 9A+ dan 2A, berkata belajar secara berkumpulan, membantunya mencapai kejayaan itu.
"Dengan mengajar rakan, saya dapat mengingati dan seterusnya membantu meningkatkan ilmu dalam mata pelajaran.
"Selain itu, saya sentiasa istiqamah apabila mewajibkan diri membaca buku sebelum tidur walaupun hanya untuk beberapa minit sahaja. Saya juga mengamalkan sembahyang hajat dan membaca al-Quran untuk menguatkan daya ingatan," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment