Gardenia tak pernah cuti
GARDENIA.. sedap dimakan begitu saja... Siapa pun pasti teringat melodi jingle ini.
Ia sebati dengan setiap isi rumah. Dari dulu hingga sekarang jenama Gardenia sangat akrab dengan kita. Produk-produk utama keluaran Syarikat Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd itu pastinya menjadi pilihan dalam kalangan penggemar roti, kek dan bakeri.
Disebalik kita melihat jenama ini menakluki hampir setiap rak di kedai-kedai runcit dan pasaraya, pasti kita tertanya, siapa orang yang menggerakkan jenama ini hingga ia menjadi sangat popular dan menjadi keperluan jutaan pengguna.
Bicara Orang Sukses menjejaki individu berkenaan. Kita telusuri bagaimana Koh Chin Huat, 62 membawa Gardenia untuk berada pada kedudukan hari ini. Ia bukan satu tugas mudah. Pelbagai cabaran dari sudut kapasiti pengeluaran, produktiviti serta pesaing jenama roti yang lain telah ditempuh.
Tanpa gelaran Datuk atau Tan Sri yang menjadi kebangaaan setiap orang, Chin Huat kekal berpegang kepada konsep perniagaan yang dibawa iaitu âwholesale bakeriâ, Gardenia terus dipacu bagi memastikan setiap pengeluaran produknya dapat menambat hati pelanggan dan seterusnya mampu mengunjurkan jualan yang tinggi pada setiap tahun.
Chin Huat kerja keras
Beliau memulakan kerjaya sebagai Pegawai Pemasaran Produk sebelum menyertai Gardenia pada tahun 1991 sebagai Pengurus Pemasaran.
Chin Huat berkata, di awal perkhidmatannya, pengeluaran produk Gardenia sedang dinaiktaraf.
"Jika dahulu, kita jual roti dengan menggunakan ejen. bukan di kedai. Gardenia kemudian ambil inisiatif menyediakan rak untuk letak roti di kedai seluruh Malaysia supaya ia lebih tersusun, memudahkan penyimpananan dan melincinkan urusan penjualan.
"Evolusi yang dicetuskan Gardenia itu akhirnya menjadi ikutan bagi pengusaha roti lain yang ingin menceburi bidang tersebut dan secara langsung telah menaiktaraf industri roti yang seterusnya memberi kebaikan kepada pengguna.
"Pada tahun 996, Gardenia mula berkembang pesat dari segi pengedaran produk kerana keperluan dan permintaan yang diperolehi amat memberangsangkan,â katanya.
JAGA tarikh luput
Menurut Chin Huat, pihaknya akan memastikan semua roti atau kek yang tidak habis dijual diambil semula, sebelum habis tarikh luput dan menggantikannya dengan yang baru.
"Ini supaya pelanggan sentiasa dapat produk yang segar. Gardenia mempunyai lebih 800 lori yang bersedia untuk ke setiap pelusuk Semenanjung Malaysia. Kami akan memastikan produk Gardenia yang segar sampai kepada pelanggan tujuh hari seminggu, 365 hari setahun, tidak kira hujan atau panas,â katanya.
Halal itu wajib!
Di Gardenia, Jawatankuasa Halal khas ditubuhkan untuk meneliti setiap peraturan-peraturan Halal dan memastikan ia dipatuhi.
Sebagai langkah tambahan untuk mengawal dan melindungi status Halal, syarikat telah melantik Penasihat Syariah Bebas di mana Gardenia boleh rujuk dalam hal-hal yang berkaitan syariah.
"Kami percaya, apa yang dilakukan adalah yang terbaik untuk pelanggan. Itulah ikrar kami. Dari segi halal, jangan khuatir. Semua roti, kek, bun, rol dan sapuan Gardenia adalah halal.
"Sejak tahun 1994 lagi Gardenia sudah menubuhkan Jawatankuasa Halal Dalaman yang terdiri daripada pegawai tertinggi beragama Islam untuk memantau segala bahan-bahan dan proses yang digunakan dalam pembuatan roti adalah halal. Jadi, pengguna Muslim boleh menikmati produk Gardenia tanpa ragu-ragu,â katanya.
Utamakan pengguna
Persaingan dalam perniagaan memang tidak boleh dielakkan. Ini mendorong Gardenia berusaha menjadi pengeluar roti terbaik.
Kata Chin Huat, cabaran untuk kekal relevan adalah perlu memahami keperluan dan kehendak pengguna di dalam persekitaran pasaran pesat dan sentiasa berubah.
"Memberikan yang terbaik kepada pelanggan adalah strategi kami. Kami akan pastikan bahan-bahan yang digunakan adalah yang terbaik agar kualiti produk terjamin dan sedap untuk dinikmati oleh semua golongan masyarakat.
"Selain itu, dengan adanya Penyelidikan & Pembangunan (R&D), perkembangan teknologi terkini, roti Gardenia yang tiada pengawet tiruan, sintetik atau bukan semulajadi, amat sesuai untuk pengguna dan keluarga.
"Dalam pada itu, Gardenia turut mengeluarkan roti Gardenia Canadian Purple Wheat yang mengandungi 100% Whole Grain, roti tinggi serat, tinggi antioksidan, rendah lemak dan mempunyai nilai indeks glisemik (G.I) rendah.
Kena kerja keras
Kerja keras adalah rahsia kejayaan Chin Huat untuk membawa Gardenia kekal relevan sehingga ke hari ini.
Berpengalaman selama berpuluh tahun dan mempunyai kepakaran teknologi dalam pengeluaran roti berkhasiat dan bermutu tinggi, membolehkan Gardenia menjadi syarikat pengeluar roti yang digemari.
"Satu sebab kejayaan yang diperolehi kini adalah penggunaan ramuan terbaik dalam semua roti keluaran. Saya tidak nafikan, kita telah berjaya menembusi setiap isi rumah.
"Bagaimanapun, kejayaan yang diraih itu tidak terhenti setakat itu sahaja dan sehingga kini Gardenia masih mengekalkan kepimpinannya menerusi penyelidikan dan inovasi secara berterusan,â katanya.
Menurut Chin Huat, pihaknya menghantar roti-roti segar dengan menggunakan lori-lori Gardenia ke lebih 28,000 kedai-kedai di seluruh Semenanjung Malaysia setiap hari, 365 hari setahun.
"Ini bukan sesuatu yang mudah kerana setiap jurujual Gardenia perlu ke kedai tersebut setiap hari. Ditambah perancangan logistik, bagi memastikan pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik dari Gardenia, kami kena benar-benar komited kepada pengguna.
"Ini bermakna di mana-mana kedai berhampiran anda, tidak kira sama ada di utara di Kangar atau di selatan di Johor Bahru ataupun di pantai timur di Kota Bahru. Jadi dengan langkah ini Gardenia dapat memberikan produk yang berkuakiti.
"Sepanjang 26 tahun menapak di pasaran Malaysia, Gardenia kini mampu memenuhi keperluan pengguna melibatkan pelbagai golongan sasaran tanpa mengira faktor usia dan tahap kesihatan,â katanya.
Didokong dengan barisan pasukan pengurusan pentadbiran, pemasaran yang mantap, menjadikan Gardenia berada kukuh dilandasannya tersendiri menjadi sebuah syarikat pengeluar roti yang terbaik di rantau Asia Tenggara.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment