Dua Datuk antara enam ditahan isu jual tanah di Ijok

Tuesday, March 20, 2018

Dua Datuk antara enam ditahan isu jual tanah di Ijok

Dua Datuk antara enam ditahan isu jual tanah di Ijok

MELAKA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan enam individu termasuk dua lelaki yang dipercayai bergelar Datuk bagi membantu siasatan berhubung isu penjualan tanah seluas kira-kira 880 hektar di Ijok, Selangor kepada syarikat pemaju swasta pada harga RM1.18 bilion.

Ketua Pengarah SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata, kesemua mereka berusia antara 34 hingga 84 tahun ditahan di Petaling Jaya dan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya antara jam 12.45 tengahari hingga 4 petang, hari ini.

Menurutnya, antara suspek yang ditahan adalah seorang bapa bersama anak lelakinya.

“Siasatan dilakukan SPRM melibatkan penerimaan bayaran menerusi transaksi wang kira-kira RM200 juta kepada lima syarikat iaitu masing-masing menerima lebih kurang RM68 juta, RM62 juta, RM42 juta, RM16.5 juta, dan RM8.5 juta.

“Pada masa sama, SPRM turut merampas beberapa dokumen penting daripada tiga buah syarikat berkaitan bagi membantu siasatan,” katanya.

Dzulkifli berkata di dalam sidang media selepas mengadakan walkabout sempena Program Sahabat Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) yang diadakan di sekitar Jonker Walk, Banda Hilir di sini.

Di dalam program tersebut, beliau telah menyerahkan risalah berhubung mesej anti rasuah bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai jenayah tersebut secara terus.

Sementara itu, jelas Dzulkifli, SPRM juga sedang mengesan seorang lagi pengarah syarikat bergelar Datuk yang dipercayai berada di luar negara dan seorang lelaki lain bagi membantu siasatan sama.

“Pasukan penyiasat juga telah membeku sembilan akaun peribadi dan syarikat bernilai RM39 juta milik kesemua suspek yang ditahan bagi membantu siasatan.

“Esok kita akan mendapatkan perintah tahanan reman bagi menyempurnakan siasatan. Kesemua mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009,” katanya.

Tambahnya, kesemua tangkapan tersebut tidak melibatkan ahli politik.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment