Bukit Aman siasat kes fitnah Rosmah
KUALA LUMPUR: Siasatan berhubung kes fitnah terhadap Datin Seri Rosmah Mansor menerusi sebuah video di YouTube sudah diserahkan kepada Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat isteri Perdana Menteri menerusi peguamnya, Noor Hajran Mohd Noor di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, hari ini berhubung perkara itu.
"Kami menerima laporan polis dibuat pihak terbabit dan kes sudah diserahkan kepada pihak Bukit Aman untuk tindakan lanjut.
"Saya sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Fuzi Harun berhubung laporan itu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Sementara itu, Noor Hajran dalam satu kenyataan berkata, video yang dimuat naik pada 7 Mac bertajuk "Mazlan Aliman Amanah-Pecah Rahsia: Isteri Najib Razak di belakang Projek Ikan Sturgeon yg Lingkup" itu telah menjejaskan reputasi dan integriti anak guamnya.
Peguam itu berkata, video yang dimuat naik oleh pemilik akaun dengan nama samaran 'Cap Kapak' memaparkan ucapan Pengerusi Persatuan Anak Peneroka FELDA (ANAK) merangkap Ahli Majlis Tertinggi Parti Amanah Negara (PAN), Mazlan Aliman yang secara terang menuduh anak guamnya (Rosmah) terbabit dalam projek penternakan ikan Sturgeon.
Katanya, dalam video itu, tuduhan Mazlan Aliman yang kononnya berdasarkan maklumat daripada pegawai FELDA, adalah satu tuduhan dan fitnah jahat tanpa bukti serta asas kukuh.
"Selepas berbincang dengan anak guam saya, jadi kami bersetuju untuk membuat satu laporan polis terhadap video berkenaan.
"Dengan laporan ini juga, kami berharap pihak polis dapat membuat siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment