Harapan Terengganu perlu lebih realistik

Monday, March 19, 2018

Harapan Terengganu perlu lebih realistik

Harapan Terengganu perlu lebih realistik

KUALA TERENGGANU - Pakatan Harapan (Harapan) Terengganu perlu lebih realistik dengan cadangan untuk membina sebuah rumah untuk setiap orang sekiranya berjaya menawan Terengganu dalam PRU14, sebagaimana manifesto yang dibuat.

Penganalisis politik,  Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak yang juga Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa, Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, ia akan menjadi satu kerja yang membazir sekiranya setiap penduduk diberikan rumah.

Sebaliknya, mereka perlu melihat kepada mekanisme agihan dengan hanya berikan kepada orang miskin, mereka yang tidak berkemampuan membeli rumah dan yang memerlukan sahaja.

“Kalau betul nak bagi, beri kepada mereka yang betul-betul layak sahaja. Tapi, kena kira berapa ramai yang akan terlibat dan kosnya, jadi barulah orang boleh lihat ia realistik atau tidak.

“Kalau sebuah rumah berharga RM50,000 dan sejuta rumah nak dibina, berapa kosnya dan dari mana sumber kewangan. Jadi, itu lebih praktikal kerana kita tahu dari mana sumber yang mereka nak ambil.

“Berapa rumah yang mereka nak buat, tanahnya di mana, saiznya macam mana. Takkan nak beri kepada semua orang? Kalau orang yang dah kaya, takkan nak bagi juga? Kalau bagi rumah kepada semua orang, yang kaya dan mampu pun akan dapat rumah juga. Itu sudah jadi satu pembaziran duit rakyat, duit negeri,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Jelasnya, jika betul ia adalah idea Harapan untuk menawarkan sebuah rumah untuk setiap penduduk, ia lebih logik jika menggunakan konsep seperti PR1MA.

Namun katanya, perlu perhalusi golongan sasar yang akan menerimanya bagi mengelakkan pembaziran, sedangkan duit itu boleh digunakan untuk pelbagai perkara lain seperti membantu anak-anak muda, untuk persekolahan anak, persediaan memasuki universiti dan pembangunan usahawan.

“Walaupun Terengganu kaya dengan hasil petroleum yang begitu banyak, tetapi mereka perlu fikir bagaimana nak menambahkan hasil selain petroleum di Terengganu. Terengganu negeri pertanian, jadi kalau bergantung pada wang Ehsan, untuk jangka panjang, tidak akan ada kelestarian kewangan di situ.

“Harga minyak tidak menentu dan mungkin akan jatuh merudum kerana dalam keadaan sekarang ini, petroleum tidak stabil. Saya fikir, adalah lebih baik bagi negeri-negeri yang berasaskan pertanian seperti Terengganu dan Kelantan, kerajaan memikirkan tentang bagaimana nak mempelbagaikan sumber hasil negeri daripada bergantung pada satu sumber sahaja, sama ada pertanian atau sumber minyak,” jelasnya.

Katanya, bergantung pada hasil minyak semata-mata adalah bahaya kerana ia tidak menentu dan daripada segi jangka panjang, mungkin akan ada masalah kerana sudah ada alternatif kepada sumber petroleum seperti tenaga solar dan hibrid.

Sebab itu katanya, mempelbagaikan sumber ekonomi adalah lebih mustahak dan membawa industri itu kepada lebih lestari.

Pembangunan keusahawanan dan pendidikan katanya, lebih penting daripada hanya bergantung pada petroleum sahaja.

“Daripada kita membelanjakannya dan terlalu bergantung pada sumber petroleum semata-mata, lebih baik mereka fikir cara untuk meningkatkan sumber daya manusia dan pembangunan bakat di Terengganu supaya setiap rakyat menjadi sumber daya ekonomi.

“Rakyat itu boleh menjadi sumber ekonomi kepada negeri, jadi mereka tidak akan bergantung pada kerajaan untuk mencari pendapatan dan sebagainya.

“Tetapi dengan memakmurkan dan memajukan ekonomi negeri adalah penting untuk mewujudkan peluang pekerjaan, kalau tidak akan berlaku penghijrahan atau berlaku keadaan hasil negeri tidak dapat ditambah,” katanya.

#prusinar #aparakyatmahu



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment