Ibu tunggal mengaku tidak bersalah
KUANTAN - Seorang ibu tunggal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas dakwaan menipu dengan menawarkan pelaburan emas yang tidak wujud hingga menyebabkan kerugian RM39,469.25 tahun lalu.
Umi Morny Mokhtar, 32, membuat pengakuan tersebut dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan kesalahan dengan menipu Wan Norfazila Wan Zainal Adzwan, 44, dan mendorongnya menyerahkan RM39,469.25 bagi urusan pelaburan emas yang tidak wujud.
Tertuduh yang beralamat di Seri Damai 14, Taman Impian Perdana itu telah melakukan kesalahan di kediaman mangsa di Lorong Taman Tas Ria 19, Taman Tas Ria antara jam 12.01 tengah malam 4 Julai 2017 sehingga jam 11.59 malam, 7 Julai 2017.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, sebat dan denda jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Shahrizat Amadan manakala tertuduh diwakili peguam, Mohamad Hamizey Mohd Taib.
Ketika prosiding, Mohamad Sharizat memohon kepada mahkamah agar wang jaminan diperuntukkan sebanyak RM10,000.
Namun begitu, Mohamad Hamizey meminta dikurangkan kepada RM4,500 berikutan anak guamnya itu tidak mempunyai pendapatan tetap dan mempunyai tanggungan seorang anak berusia empat tahun.
Bagaimanapun, Tengku Eliana menetapkan ikat jamin RM5,000 dan tarikh sebutan semula pada 19 April depan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment