36,500 dapat manfaat Program Empower ECERDC

Sunday, March 25, 2018

36,500 dapat manfaat Program Empower ECERDC

36,500 dapat manfaat Program Empower ECERDC

BERA: Program Empower Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) memberi manfaat kepada 36,500 peserta di Pahang, sejak mula diperkenalkan tahun 2010.

Pengurus Besar ECERDC Pahang, Datuk Mazlan Sharudin berkata, program berkenaan merangkumi latihan akademik dan latihan kemahiran dan keusahawanan dengan menyasarkan masyarakat di luar bandar.

"Secara keseluruhannya, seramai 28,400 peserta mengikuti latihan akademik di mana kita memberi tumpuan kepada pelajar yang kurang cemerlang serta mereka daripada keluarga berpendapatan rendah dan latihan ini mendapat kerjasama Universiti Malaysia Pahang (UMP).

"Seramai 8,100 peserta pula mengikuti latihan kemahiran dan keusahawanan menerusi bimbingan yang diberi sehingga mereka mampu menjalankan perniagaan sendiri," katanya.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat pada program Moh Ngeteh Empower ECER di bandar Bera. - Foto Farizul Hafiz Awang

Beliau berkata demikian dalam Program Moh Ngeteh dan Beramah Mesra Bersama Peserta Empower ECER Bera yang dirasmikan oleh Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini, hari ini.

Mazlan berkata, selaras dengan aspirasi Kementerian Luar Bandar Dan Wilayah yang mahu masyarakat luar bandar tidak dipinggirkan, pihaknya sudah melaksanakan Program Empower di 29 lokasi di negeri ini.

Sementara itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, seramai 1,172 pelajar di kawasan Parlimen berkenaan menyertai latihan akademik bagi tempoh dua tahun bermula 2015 hingga 2017.

"Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 1,000 pelajar atau 86 peratus dapat ditingkatkan prestasi akademik dan tahun lalu seramai 28 pelajar mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra bersama penduduk setempat pada program Moh Ngeteh Empower ECER di bandar Bera. - Foto Farizul Hafiz Awang

"Bagi peserta latihan kemahiran dan keusahawanan, seramai 7,000 atau 87 peratus daripadanya sudah menceburi bidang keusahawanan dan memiliki perniagaan sendiri," katanya.

Beliau berkata, pihak ECERDC juga akan membantu peserta latihan dengan menyediakan peralatan bagi peserta untuk memulakan perniagaan mereka selepas tamat latihan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment