350,000 brother motor 'tawan' MBW 2018

Sunday, March 25, 2018

350,000 brother motor 'tawan' MBW 2018

350,000 brother motor 'tawan' MBW 2018

SERDANG: Seakan digempur jentera dua roda, lebih 350,000 pengunjung 'menawan' Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang Selangor selama tiga hari berlangsungnya Minggu Permotoran Malaysia atau Malaysia Bike Week (MBW 2018).

Anjuran Persekutuan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO) pada hujung minggu lalu dilihat berjaya mencapai objektifnya apabila menarik peminat jentera dua roda dari seluruh negara.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan mencemar duli merasmikan MBW 2018 diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Sri Dr Ahmad Zahid Hamid.

Presiden GPMOTO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata kehadiran begitu ramai pengunjung sepanjang MBW 2018 dianjurkan melebihi sasaran awal sekitar 100,000 orang.

"Saya melihat penganjuran sebegini melewati batasan politik di mana semua peminat dua roda berkumpul tanpa mengira jenis dan kuasa enjin bersama-sama dalam berkongsi pandangan dan minat mereka itu dalam satu acara," katanya yang ditemui ketika acara penutup semalam.

Sebaik pameran dibuka jam 9 pagi pelbagai aktiviti dianjurkan di pentas utama seperti zumba, sesi ramah mesra selebriti TV3, aksi 'stunt' motosikal dan cabutan nombor bertuah.

Cuaca panas di luar tidak menghalang pengunjung untuk terus berada sehingga lewat petang untuk meynertai aktiviti yang diadakan daripada pempamer yang terlibat seperti Kelab Storm Rider yang membuka keahlian secara percuma.

Paling menarik ialah Koleksi Kenderaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang diadakan di dalam Dewan A seperti motosikal Harley-Davidson, bas 'coach', kenderaan tiga roda dan pacuan empat roda serta trak Mack.

Salah seorang pengunjung yang hadir, Khairul Shahrin Mohd Yusof dari Shah Alam berkata dia mengetahui MBW 2018 melalui berita di televisyen serta akhbar dan berpeluang datang pada hari terakhir acara.

"Sudah pasti kenderaan milik Sultan Johor menjadi perhatian kerana ia jarang-jarang sekali dipamerkan untuk tontonan umum," katanya yang juga seorang jurutera.

Pendapat yang sama turut dikongsi A. Gunasekaran seorang ahli perniagaan dari Petaling Jaya yang mengetahui acara ini melalui rakan-rakan permotorannya.

"Sebaik tahu MBW 2018 dianjurkan saya tidak mahu melepaskan peluang melihat dengan lebih dekat motosikal milik Sultan Ibrahim yang bukan sahaja unik malah dikeluarkan dalam unit edisi khas," katanya yang menunggang Harley-Davidson Sportster.

Acara ini juga bukan hanya diminati oleh golongan lelaki malah menarik pengunjung wanita seperti Shahirah Azhar, 22 daripada Wangsa Maju, Kuala Lumpur hadir bersama suami yang teruja mahu melihat kenderaan yang dipamerkan.

"Ruang dewan selesa, serta kemudahan parkir dan pengangkutan awam disediakan di dalam MAEPS memberikan pengalaman yang menarik kepada pengunjung yang mahu melihat pameran MBW 2018," katanya yang juga seorang kakitangan awam.

Hadiah cabutan bertuah bernilai lebih RM500,000 juga ditawarkan kepada pengunjung yang datang termasuk 40 buah motosikal Yamaha Y15ZR dan Benelli RFS 150i diserahkan kepada pemenang.

Selain pameran pada sebelah malam diadakan konsert membabitkan artis popular seperti Datuk Ramli Sarip, Wanie Mentor, Datuk Jeffrydin dan Datuk A. Rahman Hassan, Ella, Datuk Awie, Akim & The Majistret dan ramai lagi.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment