Tuduhan rasuah atas kehendak sendiri
KLANG - Majlis Perbandaran Klang (MPK) memaklumkan tujuh anggota penguat kuasa yang dituduh meminta dan menerima rasuah daripada seorang pengusaha kafe siber tanpa lesen di Klang dilakukan di luar kawalan pihak majlis dan atas kehendak mereka sendiri.
Yang Dipertua (YDP), Datuk Mohamad Yasid bidin berkata, majlis sememangnya tidak pernah meminta mereka untuk bertindak sedemikian.
"Pada saya apa yang mereka lakukan itu atas kehendak mereka sendiri dan kita tidak pernah arahkan atau minta mereka untuk membuat perkara yang jelas melanggar undang-undang.
"Sekarang kita cuma tunggu laporan penuh daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian kepada Pemberita ketika sidang media selepas majlis Anugerah MPK Care 2018 di SACC, di sini petang ini.
Berikutan insiden itu, menurutnya, pihak majlis akan menjalankan pemantauan lebih ketat terhadap anggota-anggota penguat kuasa yang sedang melakukan tugas.
"Kita akan arahkan pihak atasan jabatan membuat pemantauan secara mengejut dan lebih ketat walaupun agak sukar berikutan kita tidak boleh memantau mereka dalam tempoh 24 jam.
"Oleh itu, kita akan menyuruh anggota memantau lokasi secara bergilir-gilir, lokasi kerja juga akan ditukar bagi mengelak mereka membuat kerja yang sama sehingga kenal dan rapat dengan orang-orang di lokasi," katanya.
Sebagai makluman, katanya, MPK adalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang pertama di Selangor melaksanakan Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
"Saya tidak menyangka sama sekali mereka boleh terlibat dalam dakwaan berkenaan meskipun pelaksanaan ini sudah dibuat bagi mendidik dan memberi kesedaran kepada semua kakitangan majlis.
"Bahkan di jabatan kita juga terdapat satu unit khas iaitu Unit Integriti yang sentiasa memantau dan memberi penerangan serta ceramah-ceramah berkenaan rasuah dan salah guna kuasa," katanya.
Mohamad Yasid berkata, tindakan tatatertib buang kerja boleh diambil terhadap kakitangan berkenaan jika mereka disabitkan kesalahan itu.
Terdahulu media melaporkan tujuh anggota penguatkuasa MPK ditahan SPRM kerana didakwa meminta dan menerima rasuah RM1,000 daripada seorang pengusaha kafe siber tanpa lesen di Klang.
Dalam laparon itu, kesemua lelaki berusia 31 hingga 42 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Cawangan Klang pada jam 1.45 tengahari, walaubagaimanapun seorang daripada mereka dibebaskan dengan jaminan SPRM selepas dirakam percakapan.
Pada majlis Anugerah MPK Care 2018 itu juga, Sinar Harian turut menerima anugerah berbentuk sijil dan plak penghargaan berikutan sumbangan sosial untuk kesejahteraan dan keharmonian rakyat Klang.
Kesemua penerima anugerah adalah 36 yang terdiri daripada agensi kerajaan, pemaju, Badan Bukan Kerajaan (NGO), persatuan dan komuniti serta Media berikutan kerjasama mereka dalam memberi sumbangan kepada masyarakat dan MPK.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment