Jamal sedia jadi calon di Sungai Besar

Monday, March 19, 2018

Jamal sedia jadi calon di Sungai Besar

Jamal sedia jadi calon di Sungai Besar

SUNGAI BESAR: Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos menyatakan kesediaannya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) sama ada di kerusi Parlimen atau DUN Sungai Panjang.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat sokongan sebulat suara daripada kepimpinan UMNO bahagian untuk berganding bahu dengan Ahli Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi bagi mengekalkan dua kerusi yang dimenangi Barisan Nasional (BN).

"Saya secara konsisten menyatakan hasrat ingin menjadi ketua bahagian dan mengekalkan jawatan ini selepas pilihan raya akan datang.

"Malah, siapa pun calon yang akan bertanding pada PRU-14 nanti, kita akan pastikan dia memperoleh kemenangan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Program Ramah Mesra Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Berkat di sini, malam tadi.

Jamal berkata, kesediaannya itu susulan kenyataan Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil di Ipoh, semalam untuk menolak tawaran bertanding di Parlimen Sungai Besar.

"Beliau (Shahrizat) sudah memaklumkan akan melupakan hasrat menjadi calon di kawasan ini. Justeru, kita mengadakan mesyuarat bahagian dan keseluruhannya, ahli jawatankuasa (AJK) menyuarakan pendapat dan meminta saya berganding bersama Budiman menjadi calon PRU-14.

"Saya bersedia menggalas tanggungjawab ini bersama beliau (Budiman). Tidak kira Parlimen atau DUN, paling mustahak bukan kerusi kami rebutkan, tetapi solidariti daripada kami dan seluruh pengundi juga jentera parti," katanya.

Katanya, keputusan mengenai calon akan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

"Kami menunggu isyarat pembubaran Parlimen dan jentera kami bersiap siaga sepenuhnya. Kami akan pastikan dua DUN (Sungai Panjang dan Sekinchan) dan Parlimen Sungai Besar berada dalam genggaman BN.

"Saya yakin dan percaya gandingan kali ini tidak mengecewakan para pengundi. Meskipun personaliti kami berdua berbeza, kami mampu membawa perubahan bukan sahaja di bahagian, malah di negeri ini secara keseluruhannya," katanya.

Mengulas kecaman netizen di media sosial mengenai kesediaannya menjadi calon, Jamal menegaskan ia tidak menjadi penghalang untuk meneruskan khidmat kepada rakyat.

"Sebelum ini, saya sering dikeji dan dituduh pelbagai perkara dan ia adalah perkara lumrah dalam politik. Jika anda tidak mahu dikecam, duduk diam dan tak perlu buat kerja seperti saya.

"Apa yang diperkatakan orang ramai itu sebenarnya tidak mempengaruhi sedikit pun penduduk di kawasan ini. Saya percaya pengundi Parlimen Sungai Besar lebih mengenali diri ini. Malah, bukan media sosial yang akan menentukan kemenangan pilihan raya nanti," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment