Tiada pelajar jayakan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN

Thursday, March 15, 2018

Tiada pelajar jayakan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN

Tiada pelajar jayakan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN

JOHOR BAHRU - Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) hari ini menjelaskan tidak berlaku penglibatan pelajar tingkatan empat dan lima di daerah Muar, diarahkan menjayakan program Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN di Pagoh, Sabtu lepas.

JPNJ dalam kenyataan berkata, penglibatan pelajar berkenaan tidak berlaku ekoran keputusan Pejabat Pendidikan Daerah Muar menarik balik surat arahan tersebut setelah menyedari program berkenaan bersifat politik.

Menurut kenyataan itu, Sekolah Agama Pontian Besar seperti yang tular dalam media sosial berhubung penglibatan pelajar dalam program sama, bukannya sekolah di bawah seliaan jabatan berkenaan dan Kementerian Pendidikan.

“Berhubung murid tingkatan empat dan lima di daerah Muar diarahkan hadir menjayakan program politik Umno BN dengan memakai  baju berwarna biru, jabatan ingin memaklumkan penglibatan murid tersebut tidak berlaku  memandangkan  Pejabat Pendidikan Daerah Muar telah menarik balik surat arahan tersebut setelah menyedari program itu bersifat politik," menurut kenyataan itu.

Sebuah akhbar tempatan pada 13 Mac lalu dalam portal beritanya  menerbitkan laporan berhubung penglibatan pelajar sekolah pada Majlis Perasmian Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN

Akhbar berkenaan melaporkan bahawa Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) kesal dengan tindakan pihak Kementerian Pendidikan dan JPNJ yang membenarkan pelajar dijadikan alat politik.

Presiden Pendidik, Normala Sudirman dilaporkan berkata, alasan biasa digunakan untuk ‘menghalalkan’ semua itu berlaku dan guru tidak dibenarkan berpolitik seperti diumumkan Kementerian Pendidikan jelas hanyalah retorik semata-mata.

Dalam kenyataan itu juga, JPNJ memaklumkan surat arahan tersebut merujuk kepada Program Lawatan Perdana Menteri Malaysia ke Parlimen Pagoh dan bukannya program seperti yang ditularkan.

JPNJ sentiasa akur dan mematuhi Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 9/2004 bertajuk Panduan Penglibatan Murid Sekolah Dalam Program Atau Aktiviti Anjuran Agensi Selain Daripada Agensi Di Bawah Kementerian Pendidikan, dengan setiap aktiviti yang memerlukan penglibatan murid mestilah mendapatkan kebenaran Pengarah Pendidikan Negeri Johor terlebih dahulu, menurut kenyataan itu. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment