Tampil bantu Hospital Melaka

Wednesday, March 28, 2018

Tampil bantu Hospital Melaka

Tampil bantu Hospital Melaka

MELAKA - Lembaga Pelawat Hospital Melaka meminta lebih banyak lagi syarikat korporat tampil membantu untuk membuat sumbangan dalam apa jua bentuk demi keceriaan dan keselesaan hospital berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Akrammuddin Abdul Aziz berkata, beberapa perancangan kini telah dibuat di bawah Pengarah Hospital itu, Dr Hatijah Mohd Tan khususnya untuk keindahan hospital berkenaan.

Menurutnya, Hospital Melaka sedang dalam peringkat untuk berubah wajah di mana banyak kemudahan serta beberapa wad yang menempatkan pesakit telah diserikan dengan penuh warna-warni demi keselesaan orang ramai.

“Selain itu, kita sedang merancang untuk membangunkan taman-taman di sekitar hospital.

“Justeru, kita menyeru lebih banyak syarikat tampil membantu membuat sumbangan supaya apa yang dirancang dapat direalisasikan,” katanya selepas melakukan lawatan ke wad C3 dan C4 di Blok C, Hospital Melaka di sini, semalam.

Seramai 80 pesakit turut diberikan sumbangan serta bungkusan barang makanan pada program yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Melaka, Sabrina Thalas.

Sementara itu, Akrammuddin berkata, pihaknya juga akan mendapatkan kerjasama daripada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bagi membantu menghiasi landskap di hospital berkenaan.

“Saya akan melakukan perbincangan dengan PBT untuk melihatkan bagaimana cara boleh membantu hospital menghiasi landskap supaya sentiasa dalam keadaan indah.

“Di Melaka kita ada empat PBT dan satu mesyuarat khas akan diadakan bagi tujuan ini,” katanya.

Pada lawatan itu, Akrammuddin turut berkesempatan melawat Timbalan Yang Dipertua Kelab Media Massa Melaka (KEMM) Mohd Raffi Bachik yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana pendarahan pada bahagian otak sebelum beliau disahkan meninggal dunia kira-kira jam 2.20 petang semalam.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment