SPM: Kerian cipta hatrik

Thursday, March 15, 2018

SPM: Kerian cipta hatrik

SPM: Kerian cipta hatrik

PARIT BUNTAR - Daerah Kerian mengulangi pencapaian hatrik mengungguli keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik di Perak untuk tiga tahun berturut-turut dengan Gred Purata Sekolah (GPS) sebanyak 4.72, mengatasi GPS negeri Perak (5.98).

Lebih manis, keputusan cemerlang itu juga merupakan hadiah persaraan terbaik kepada Pegawai Pendidikan Daerah Kerian, Abdul Wahid Ramli yang bakal menamatkan perkhidmatan pada September ini.

Abdul Wahid berkata, pencapaian memberangsangkan itu membuktikan komitmen PPD Kerian bersama tenaga guru, pelajar dan waris untuk merangka kejayaan sekalipun daerah Kerian tidak mempunyai Sekolah Berasrama Penuh (SBP), sekolah berusia lebih 100 tahun mahupun sekolah berstatus Premier.

Menurutnya, daripada keseluruhan 2,911 calon SPM melibatkan 21 sekolah menengah, daerah Kerian turut mencatatkan peningkatan peratus kelulusan bagi semua mata pelajaran atau layak mendapat sijil 87.43 peratus berbanding 86.81 peratus bagi tahun 2016.

"Dari segi kualiti, daerah Kerian peroleh 1.51 peratus calon yang mendapat kesemua A dalam mata pelajaran diambil.

"Pada tahun ini, buat pertama kali tiada sekolah yang memperolehi GPS melebihi 6, jadi ia bukti pencapaian setiap sekolah mengalami peningkatan memberangsangkan.

"Kejayaan dicapai turut membuktikan ketiadaan sekolah berprestasi tinggi di kawasan luar bandar seperti Kerian bukan kayu pengukur utama kejayaan pelajar dalam peperiksaan utama,"katanya pada sidang media khas pengumuman keputusan SPM 2017 di Ibu Pejabat PPD Kerian, hari ini.

Turut hadir Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Panglima Bukit Gantang, Mohd Saad Hashim.

Abdul Wahid berkata, berdasarkan penilaian GPS, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama(SMKA) Kerian menduduki tempat pertama apabila mencapai 2.35 diikuti SMK Panglima Bukit Gantang (3.97) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan(SABK) Al-Hidayah, Parit Abas (4.14).

Menurutnya, penilaian GPS bagi SMKA Kerian dan SMK Panglima Bukit Gantang bagi tahun 2017 dianggap antara yang terbaik dalam sejarah sekolah tersebut.

"Saya melihat faktor utama kejayaan daerah Kerian disebabkan kerjasama ibu bapa, guru-guru dan sokongan padu wakil rakyat yang sentiasa membantu pengurusan PPD Kerian dan pentadbir sekolah dalam usaha melakar kejayaan bermakna ini.

"Selain itu, pencapaian sekolah jenis kebangsaan juga turut menunjukkan peningkatan menggalakkan dan membantu meningkatkan GPD bagi daerah Kerian.

"Secara peribadi, kejayaan hatrik ini saya anggap sebagai sebagai hadiah persaraan saya yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam bidang perguruan pada September ini," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment