Shahrizat tolak pelawaan tanding di Sungai Besar
IPOH: Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata beliau menolak pelawaan untuk bertanding sebagai calon di Parlimen Sungai Besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
Katanya, keputusan itu diambil selepas mengambil kira pelbagai aspek termasuk melihat ada tokoh tempatan yang berpotensi diketengahkan sebagai calon di kawasan Parlimen itu.
Bulan lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus dilaporkan menjemput Shahrizat untuk menjadi calon di kawasan itu.
"Saya sudah menyatakan hasrat untuk tidak bertanding di situ (Sungai Besar) kepada Jamal dan juga Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak.
"Sekali lagi saya sifatkan jemputan oleh Jamal ini dianggap sebagai satu penghormatan kepada pemimpin wanita.
"Selaku ketua wanita, saya tidak boleh pentingkan diri kerana semasa turun padang di sana, saya lihat masih ramai calon tempatan yang berkaliber dan boleh diketengahkan untuk mewakili parti," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita dan Puteri BN Negeri Perak yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadirdi di sini, hari ini.
Bagaimanapun, bekas Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, beliau akan terus memberikan sokongan kepada mana-mana calon parti yang diberi mandat untuk mewakili Barisan Nasional (BN) sekali gus mengekalkan kemenangan di Sungai Besar.
Mengulas kesediaannya untuk dicalonkan semula mewakili UMNO pada PRU-14, Shahrizat berkata, beliau menyerahkan kepada Najib untuk menentukan di mana kawasan untuknya bertanding namun bukan di Sungai Besar.
"Soal bertanding di mana saya serahkan pada Datuk Seri Najib untuk buat keputusan, tapi bukan Sungai Besar, saya buat keputusan takkan bertanding sebelum ia dipertimbangkan lagi," katanya.
Sementara itu, Zambry berkata, BN Perak akan menampilkan lebih ramai calon dalam kalangan wanita pada PRU-14 sebagai menghargai pengorbanan mereka dalam perjuangan parti.
"Kita tidak nafikan peranan wanita dalam setiap pilihanraya, lantaran itu BN negeri sentiasa akan beri tempat kepada wanita seperti yang kita amalkan kini.
"Kita juga berusaha untuk tambahkan lagi jumlah calon-calon wanita BN pada PRU14 khususnya dalam UMNO, MCA, MIC, GERAKAN dan parti komponen yang lain," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment