Sebutan semula kes bunuh Nur Aina Nabihah 6 April
PORT DICKSON - Mahkamah Majistret Port Dickson menetapkan 6 April depan sebagai sebutan semula kes seorang anggota tentera yang didakwa membunuh anak perempuannya, Nur Aina Nabihah, 9, pada Januari lepas.
Majistret Siti Khariah Abdul Razak menetapkan tarikh tersebut selepas Timbalan Pendakwa Raya A Ashwini memaklumkan pihaknya masih menunggu laporan kimia dan hasil bedah siasat.
Tertuduh, Mohammad Abdullah Mohamed, 35, yang berpakaian lokap berwarna ungu tiba di Mahkamah Majistret Port Dickson dengan diiringi pihak polis pada jam 9 pagi.
Mohammad Abdullah didakwa 12 Februari lalu kerana melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Nur Aina Nabihah di Taman Vista Jaya, Lukut, dekat sini, antara jam 8.30 malam hingga 11.30 malam, 31 Januari lalu.
Media sebelum ini melaporkan Nur Aina Nabihah meninggal dunia dipercayai akibat didera bapa kandung.
Keputusan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kecederaan pada buah pinggang selain usus terkoyak serta patah tulang rusuk.
Mohammad Abdullah dan isteri sebelum ini direman sejak 2 Februari lepas, namun isterinya yang juga ibu tiri mangsa dibebaskan dengan jaminan mahkamah di bawah Seksyen 118 Kanun Prosedur Jenayah dan akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment