PARLIMEN: 'Rumput emas laut' diberi nafas baharu

KUALA LUMPUR: Sektor pengeluaran rumpai laut di Sabah yang menghasilkan 206,000 tan setakat 2016 akan terus dipacu menerusi lonjakan industri hiliran.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, berkata isu yang membelenggu industri penghasilan rumpai laut Negeri di Bawah Bayu itu adalah ketidakseimbangan antara pembeli dan pengeluar.
Katanya, ia berpunca daripada kelompongan pelbagai usaha mempromosikan rumpai laut yang ketika ini hanya mencatatkan nilai pengeluaran RM43 juta.
"Isunya adalah pengeluar ketika ini 1,600 orang, tetapi pembeli rumpai laut di Sabah sangat sedikit, sekali gus mencetuskan ketidakseimbangan dalam kelok penawaran serta permintaan.
"Oleh itu, kerajaan bangunkan keupayaan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memacu usaha promosi dan memastikan kadar harga jualan rumpai laut daripada penternak ditingkatkan.
"Langkah ini perlu kerana industri pengeluaran rumpai laut di Sabah mempunyai permintaan pasaran antarabangsa seperti China dan India," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff ketika Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini, mengenai usaha kerajaan untuk mencapai sasaran pengeluaran rumpai laut berkadar 730,00 tan menjelang 2020.
Menjawab soalan tambahan Datuk Raime Unggi (BN-Tenom) berhubung lonjakan sektor hiliran rumpai laut, Ahmad Shabery berkata, pelbagai usaha dirangka dalam menstabilkan jurang harga jualan produk berkenaan.
"Harga dibeli daripada penternak rumpai laut masih rendah iaitu sekitar RM3 sekilo, manakala jualan di lapangan terbang boleh mencapai sehingga 1,000 kali ganda iaitu RM38 sekilo.
"Usaha lain untuk melonjak industri pemasaran rumpai laut dari Sabah adalah dengan menyuntik kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai khasiatnya," katanya.
Mendapat sambutan menggalakkan di luar negara, Ahmad Shabery berkata, rumpai laut mempunyai lebih 46 khasiat galian dan 16 jenis asid amino, selain kaya dengan kandungan nutrisi untuk manfaat kesihatan.
Sehubungan itu, katanya, potensi 'rumput emas laut' ini harus digunakan sebaiknya dalam memacu peningkatan sosioekonomi rakyat dan pengusaha.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment