Sarawak lokasi baharu JPB
BAGAN DATUK - Sarawak bakal menjadi lokasi terbaru siri Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) 2018 selepas ia dilaksanakan di Semenanjung dan Sabah sebelum ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Sarawak juga akan menjadi lokasi terakhir siri jelajah berkenaan yang akan diadakan di Miri pada 2 Mei.
"Tumpuan ini bukan hanya di kawasan bandar dan pinggir bandar sahaja tetapi juga luar bandar bagi membantu pelajar Bumiputera di setiap pelusuk.
"Ia selari dengan tujuan JPB untuk membantu pelajar ini melanjut pelajaran di institusi pendidikan dan kemahiran tinggi termasuk universiti awam," katanya ketika berucap pada majlis perasmian JPB 2018 di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, pagi tadi.
Tambah Ahmad Zahid, langkah baharu berkenaan antara lain bagi meningkatkan status sosial rakyat khususnya golongan muda yang berada di kawasan luar bandar.
"Peningkatan status sosial kepada anak-anak muda secara langsung ia akan mempertingkat status sosial isi rumah dan keluarganya.
"Ia kombinasi daya usaha pihak kerajaan dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta pihak swasta kerana kita harus menerobos keluar dari kepompong 'silo jumud' apabila kita mahu menjadi negara maju dan perlu melangkah sederap," katanya.
Sementara itu, lebih 5,000 pelajar lepasan SPM dari sekitar Bagan Datuk, Teluk Intan, dan Sabak Bernam mengunjungi lokasi pertama JPB 2018.
Menurut Ahmad Zahid sebanyak 32 lokasi melibatkan 92 kawasan Parlimen telah dipilih pada JPB 2018 dalam melaksanakan misi mencari, mengenal, membantu pelajar Melayu dan Bumiputera.
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment