FOMCA sedia tawar khidmat nasihat

Saturday, March 24, 2018

FOMCA sedia tawar khidmat nasihat

FOMCA sedia tawar khidmat nasihat

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) sedia menawarkan khidmat nasihat serta bantuan perundangan kepada pengguna yang terbeli minyak kenderaan tiruan seperti minyak pelincir, minyak gear atau minyak brek.

Setiausaha Agung FOMCA, Muhammad Shaani Abdullah, berkata pengguna yang sudah menjadi mangsa penipuan sama ada membabitkan urusan pembelian daripada individu atau bengkel membaiki kereta boleh membuat aduan terus kepada Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC).

Katanya, menerusi aduan itu, FOMCA bersedia memberi bantuan bagi menuntut semula wang akibat pembelian mana-mana barangan tiruan berkenaan serta ganti rugi kerosakan kenderaan jika terbukti bengkel servis kenderaan menggunakan minyak tiruan tanpa pengetahuan pemilik kenderaan.

"Bantuan ini juga termasuklah bantuan lanjutan bagi membolehkan pengguna membuat tuntutan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM).

"Selain itu, antara khidmat bantuan yang kami boleh berikan adalah nasihat perundangan bagi membolehkan pengguna menuntut hak mereka," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Shaani berkata, sebagai pengguna, orang ramai tidak perlu takut untuk membuat semakan terhadap barangan digunakan pihak bengkel.

"Sebagai pengguna, orang ramai ada hak untuk bertanya serta menyemak sama ada barangan yang digunakan oleh pihak bengkel adalah asli.

"Ini kerana, jika kita tidak menggunakan hak itu, kita juga yang akan rugi apabila kenderaan rosak akibat penggunaan barangan tiruan," katanya.

Muhammad Shaani berkata, paling utama segala bukti pembayaran termasuk bukti pek atau bekas mengisi minyak yang digunakan perlu disimpan oleh pengguna.

"Hanya dengan bukti itu, barulah pengesahan lanjutan boleh digunakan termasuk bagi menuntut ganti rugi," katanya.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment