Peruntuk RM30,000 jaya projek perintis

Thursday, March 15, 2018

Peruntuk RM30,000 jaya projek perintis

Peruntuk RM30,000 jaya projek perintis

PASIR GUDANG â€" Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30,000 sebagai fasa pertama dalam menjayakan projek perintis penternakan udang kara (Lobster) air tawar di rumah.

Usaha yang diambil bagi membantu janaan pendapatan lain untuk masyarakat itu juga dilaksanakan bagi membolehkan golongan belia di negeri ini mencuba sektor usahawan yang lebih pelbagai.

Exco Pertanian dan Asas Tani Johor, Ismail Mohamed berkata, untuk permulaan, seramai 20 penerima dipilih untuk mendapatkan latihan serta memperoleh kit penternakan hidupan air bernilai tersebut.

"Setiap peserta dipilih akan terima kit penternakan berbentuk anak benih dan sangkar bernilai RM1,500 untuk mengusahakan ternakan udang ini di kawasan rumah mereka sendiri.

“Dulu kita dah pernah buat tanaman fertigasi, yang boleh tanam di dalam rumah kini kita tampilkan pula projek ini, yang mana semua orang boleh jadi penternak, tidak perlu ruang yang luas, duduk taman atau kampung semuanya boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyampaian Sijil dan Bantuan Program Galakan Usahawan (PGU), Pertanian Rakyat dan Penyerahan Kit Penternakan Udang Kara Air Tawar dan  di Dewan Taman Mawar, semalam.

Ismail berkata, pihaknya menjangkakan sekurang-kurangnya 50 peratus pendapatan tambahan dapat dicapai sekiranya setiap peserta yang terlibat bijak menguruskan ternakan berkenaan.

“Dengan ternakan yang mahal ini, udang kara kan mahal dalam RM150 sekilo…jadi dengan bela ini mereka boleh dapat pendapatan tambahan yang tinggi. Untuk kit ini semuanya akan menghasilkan 1,000 telur tetapi mungkin 100 yang boleh dijual. Itu pun sudah pergi 30 ke 40 kilo.

“Sebenarnya sudah ada pengusaha di kawasan Tenggara, Kota Tinggi yang mengusahakan ternakan ini lebih 10 tahun, jadi kita ambil model itu untuk diperkenalkan kepada orang lain kerana cara ternak tidak memerlukan kawasan yang luas,” katanya.

Jelasnya, peserta yang terlibat dalam program itu juga sudah boleh menerima hasilnya dalam masa tujuh bulan ternakan tetapi bergantung kepada kaedah serta struktur ternakan yang mereka jalankan.

Setiap peserta yang dipilih harus mempunyai persekitaran bersesuaian dengan ternakan, selain menghadiri kursus berkala mengenai bimbingan dan kemahiran menguruskan perniagaan.

Pada majlis itu, Ismail menerusi teks ucapan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, PGU yang diperkenalkan kerajaan negeri bukan sahaja bertujuan membangunkan industri asas tani, malah bagi memperluaskan bidang keusahawanan di negeri ini.

Katanya, aspek keusahawanan adalah agenda besar pada masa ini selain turut menjadi asas penting dalam mengorak langkah memajukan Johor pada dekad mendatang.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment