Peluang Liverpool kembali rampas tempat ketiga
HANYA empat perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) diadakan minggu ini manakala enam lagi termasuk membabitkan pendahulu, Manchester City menentang Brighton, ditangguhkan bagi memberi laluan suku akhir Piala FA.
Berikutan itu, tumpuan perlawanan bagi minggu ke-31 ini tentunya adalah membabitkan aksi Liverpool menentang Watford di Anfield awal pagi esok waktu Malaysia, berbanding tiga perlawanan lain.
Minggu lalu, pasukan bimbingan Jurgen Klopp ini dimalukan oleh Manchester United di Old Trafford. Kekalahan di tangan kelab bimbingan Jose Mourinho ini sangat perit diterima, baik oleh pengurusan atau penyokong setia The Reds.
Selain maruah tercalar dengan seteru ketat dan kempunan sebarang mata, kekalahan juga menyaksikan mereka turun dua anak tangga ke posisi keempat liga selepas di pintas Tottenham Hotspur.
Spurs berjaya mengutip mata penuh selepas membelasah Bournemouth 4-1 untuk menghimpun 61 mata keseluruhan, lebih satu berbanding Liverpool, namun ketinggalan empat mata di belakang United yang berada di tempat kedua.
Dengan Tottenham tidak beraksi minggu, jelas Liverpool memiliki peluang 'seluas lautan Atlantik' untuk kembali menduduki tangga ketiga dan sekali gus merapati United.
Penulis terbaca satu ramalan di sebuah portal sukan yang meletakkan peluang Liverpool memenangi perlawanan menentang Watford ini adalah sebanyak 81 peratus manakala 13 peratus berakhir seri.
Ia bukan mengejutkan. Melihat kepada rekod pertemuan lalu, daripada sembilan aksi terakhir, The Reds menang enam berbanding dua The Hornets. Pada pertemuan terakhir di Anfield, 6 November 2016, Liverpool membelasah lawannya itu, 6-1.
Sebelum itu pada 8 Mei 2016, The Reds turut menang 2-0. Minggu lalu, Watford dijinakkan oleh Arsenal, 3-0 pada aksi yang berlangsung di Emirates, tatkala mereka kekal di pertengahan liga.
Satu lagi rekod yang penulis temui, pertemuan kedua-dua pasukan ini tidak pernah berakhir dengan keputusan seri pada aksi EPL dengan himpunan 72 gol menerusi 21 aksi.
Penulis percaya, penyerang sensasi Mesir, Mohamed Salah sudah pasti mahu melepaskan geram selepas tidak menjadi di Old Trafford. Setakat ini dia sudah meledak 24 gol daripada 68 jaringan Liverpool di EPL.
Bagi perlawanan ini, penulis meramalkan Liverpool akan menang besar. Sukar untuk membayangkan Liverpool akan tewas aksi ini meskipun ia pernah berlaku ketika bertemu pasukan pertengahan seperti Swansea City atau Burnley sebelumnya.
Sementara itu, United akan membuat perhitungan dengan Brighton pada aksi suku akhir Piala FA, jam 3.45 pagi di Old Trafford, esok manakala Spurs bertandang ke Swansea jam 8.15 malam ini.
Dua lagi aksi suku membabitkan Wigan menentang Southampton, jam 9.30 malam esok manakala Leicester menyambut kunjungan Chelsea pada jam 1.230 tengah malam Ahad. Selamat menonton.
Ramalan Minggu ke-31
Stoke City 2 Everton 2
Huddersfield 2 Crystal Palace 2
Bournemouth 2 West Brom 0
Liverpool 4 Watford 1
*Penulis - Amirullah Andi Nur adalah Penolong Pengarang Sukan Kumpulan NSTP
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment