PAS Selangor menghina istana - Mohamed Azmin
SHAH ALAM: Tindakan PAS Selangor menyerahkan surat kepada pihak Istana Selangor berhubung isu pembekuan dana dianggap sebagai menghina institusi Diraja itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PAS tidak sepatutnya mengheret pihak istana kerana beliau sudah meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu untuk berjumpa pegawai daerah masing-masing.
"Ini soal pentadbiran. Sudah bagi tahu jumpa DO (Pegawai Daerah), bukan jumpa Sultan.
"Ia satu penghinaan kepada istana. Nak maklum apa kepada istana?" katanya ketika ditemui selepas Majlis Karnival Himpunan Membangun Rakyat Memakmur Negeri di sini, hari ini.
Isnin lalu, PAS Selangor mengemukakan surat rasmi kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung tindakan Mohamed Azmin menyekat peruntukan tahunan kepada ADUN parti itu.
Penyerahan itu dilakukan oleh Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga ADUN Sabak, Sallehen Mukhyi kepada pegawai pengiring baginda, Kapten Ahmad Ramli Kardi di Istana Mestika, Seksyen 7 di sini, kira-kira jam 2 petang.
Mohamed Azmin berkata, pemberian peruntukkan itu diberikan mengikut prosedur dan peraturan yang betul.
Sementara itu, beliau seolah-olah membayangkan akan bertanding di kerusi DUN dan Parlimen yang disandangnya kini.
"Saya beri tiga option(pilihan). Bukit Antarabangsa, Gombak atau mana-mana kerusi di Selangor. Jadi, saya tidak pilih Pekan (Pahang) atau Bagan Datuk (Perak)," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment