30,000 sertai PDRM Night Run 2018
PROGRAM Larian Polis Diraja Malaysia (PDRM) Night Run 2018 yang julung kali diadakan mendapat penyertaan daripada 30,000 peserta hari ini.
Acara yang diadakan bersempena Hari Polis ke-211 bermula jam 8 malam ini di Dataran Merdeka di sini, dijangka berakhir jam 1 pagi di lokasi sama.
PDRM Night Run 2018 terbahagi kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km), 10 km dan 21 km mengelilingi pusat bandar.
Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata larian yang disertai anggota, pegawai polis serta orang awam itu bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat dengan PDRM dan akan dijadikan acara tahunan.
"Diharapkan acara ini akan terus mendapat sokongan masyarakat pada tahun-tahun akan datang," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan acara pelepasan peserta PDRM Night Run 2018 di dataran itu.
Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Mohamad Fuzi turut menyertai acara larian sejauh lima kilometer.
Peserta yang berjaya menamatkan larian bagi setiap kategori akan menerima pingat, wang tunai dan hadiah lain. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment