PARLIMEN: Dr Subramaniam 'ajar' pembangkang

Thursday, March 29, 2018

PARLIMEN: Dr Subramaniam 'ajar' pembangkang

PARLIMEN: Dr Subramaniam 'ajar' pembangkang

KUALA LUMPUR: Persepsi kononnya Kementerian Kesihatan kurang peka terhadap kemasukan makanan mengandungi toksik atau bahan kimia berlebihan adalah tidak benar.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata Bahagian Keselamatan Makanan sentiasa cakna dalam memperkukuhkan sistem saringan terhadap produk keluaran tempatan dan negara luar.

Katanya, ia termasuk langkah pemeriksaan secara mengejut di premis menjual makanan dan persampelan rawak terhadap produk di pasaran untuk mengesan kesahihan kandungannya.

"Semua makanan dan minuman dari dalam serta luar negara mempunyai standard, justeru adalah menjadi keperluan industri untuk mematuhinya.

"Kita mengadakan audit terhadap premis, termasuk di peringkat antarabangsa sebelum mengeluarkan sebarang kelulusan, contohnya pembekalan daging lembu dari luar negara.

"Pegawai Kementerian Kesihatan dan Jabatan Veterinar dihantar untuk meneliti sama ada pusat penyembelihan syarikat pembekal menepati syarat yang ditetapkan," katanya menjawab soalan tambahan Teresa Kok (DAP-Seputeh) di Dewan Rakyat, hari ini.

Teresa mendakwa sesetengah makanan yang didapati mengandungi kimia atau toksik sering dikemukakan hasil pemeriksaan Jabatan Kesihatan Singapura.

Tindakan itu, katanya, mencetuskan persoalan mengenai keperluan Kementerian Kesihatan melakukan inisiatif tambahan, sekali gus lebih peka terhadap kualiti produk makanan dan minuman di pasaran.

Bangun menepis persepsi itu, Dr Subramaniam memberi 'ceramah' kepada Teresa yang disifatkan sering memperlekehkan sistem keselamatan kesihatan negara.

"Saya kena memperbetulkan persepsi salah oleh YB (Yang Berhormat) Seputeh, seolah-olah semua yang dilakukan Singapura lebih baik berbanding Malaysia.

"Kita kena sampai ke satu tahap mempunyai keyakinan terhadap sistem negara kita, justeru saya nak bagi pengajaran kepada YB sikit kerana memang pengetahuannya kurang mendalam dalam bidang ini.

"Kementerian mempunyai Bahagian Keselamatan Makanan yang lebih lama daripada Singapura, jadi usahlah dengar persepsi salah," katanya sambil mengundang tepukan meja segelintir Ahli Parlimen sebagai tanda sokongan.

Dr Subramaniam menjelaskan, pihaknya menguatkuasakan peruntukan sedia ada termasuk menggantung lesen pengimportan dan memanggil balik produk di pasaran yang dicemari toksik atau bahan kimia berlebihan.

Bagaimanapun, katanya, arahan dan tindakan segera itu lazimnya tidak dihebahkan sehingga dilaporkan akhbar bagi memberi ruang ia diselesaikan secepat mungkin dan mengikut keutamaan.

"Namun bila keluar satu benda (makanan terjejas toksik) di Singapura, ia keluar (diterbitkan) dalam akhbar, sekali gus mencetuskan persepsi kononnya ini berlaku di negara itu saja.

"Kita ada akta (bersesuaian untuk tangani perkara ini), justeru sebagai rakyat Malaysia, kamu tinggal di negara yang selamat daripada persepsi," katanya dalam nada menyindir kepada Teresa.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment