Notis ROS: PPBM akan patuh

Saturday, March 24, 2018

Notis ROS: PPBM akan patuh

Notis ROS: PPBM akan patuh

MUAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan memenuhi arahan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menyerahkan beberapa dokumen bagi melengkapkan siasatan agensi itu berdasarkan aduan yang diterima daripada ahlinya sendiri.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata PPBM menganggap ROS memberikan tempoh kepada parti itu selama 30 hari bermula 7 Mac lalu, iaitu tarikh surat berkaitan arahan itu diterima oleh pihaknya.

"Saya fikir mereka bagi kita 30 hari daripada tarikh surat itu yang kita terima pada 7 Mac walaupun surat dia (ROS) tandatangan pada 28 Februari tetapi secara fizikal surat tiba pada 7 Mac.

"Kita punya Setiausaha Agung (Datuk Dr Shahruddin Md Salleh) sudah hantar surat kepada ROS untuk mendapatkan penjelasan hari terakhir untuk kita kemukakan. Sementara itu daripada pihak PPBM, kita sudah kemukakan beberapa maklumat (kepada ROS).

"Kita akan sampaikan (maklumat) mana kita sudah selesai, bermakna tidak dihantar sekali gus. Yang mana kita boleh selesaikan, kita akan selesaikan macam data berkenaan dengan keahlian, minit mesyuarat agung, penyata audit 2016, tapi (ROS) ada minta penyata audit 2017 yang baru selesai diaudit.

"Jadi, kita berharap boleh sampaikan (maklumat yang diminta ROS) sebelum tempoh berakhir," katanya pada sidang media di Pejabat PPBM Bahagian Pagoh di Taman Pagoh Jaya di sini, hari ini.

Sebelum ini media melaporkan ROS mengemukakan satu notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1996 kepada PPBM yang diserahkan menerusi Setiausaha Agungnya yang mengkehendaki parti berkenaan menjawab dan menyerahkan semua maklumat serta dokumen kepada jabatan itu dalam tempoh 30 hari.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam sidang medianya pada 16 Mac lalu mengakui pihaknya tidak dapat memenuhi dua daripada sembilan perkara yang dituntut oleh ROS menerusi notis berkenaan iaitu membabitkan laporan mesyuarat bahagian dan cawangan parti berkenaan atas alasan penubuhan parti itu belum genap setahun ditubuhkan.

Semalam, ROS juga mengesahkan pendaftaran Pakatan Harapan pada masa ini tidak dapat diproses kerana PPBM yang menjadi satu daripada empat parti komponen gabungan pembangkang itu masih belum menjawab dan menyerahkan semua maklumat serta dokumen seperti mana dalam notis sebelum ini.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment