'Cubaan ganggu karier politik saya'

Saturday, March 24, 2018

'Cubaan ganggu karier politik saya'

'Cubaan ganggu karier politik saya'

GEORGETOWN - Ketua Menteri, Lim Guan Eng meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan jumlah keterangan yang dirakam daripada pemimpin BN termasuk perdana menteri dan timbalan perdana menteri bagi laporan polis yang dibuat ke atas mereka.

Permintaan itu dibuat Guan Eng selepas beliau menerima surat daripada polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut bertarikh 21 Mac untuk merakamkan percakapannya berhubung lagu GST yang dinyanyikan dalam sebuah majlis minggu lalu.

“Tindakan polis ke atas saya jelas menunjukkan ia bermotifkan politik kerana saya disiasat di bawah kesalahan jenayah. Dengan siasatan ini, mereka (BN) boleh memenjarakan saya dan ini adalah penyalahgunaan kuasa yang amat besar.

“Ini kerana, saya langsung tidak menyebut tentang BN mahupun nama pemimpinnya. Adakah menyanyi di negara buat masa ini boleh dianggap satu kesalahan jenayah?” katanya menerusi kenyataan akhbarnya, semalam.

Setiausaha Agung DAP itu turut mempersoalkan sama ada siasatan kesalahan jenayah yang dijalankan ke atasnya disebabkan kapasitinya sebagai ketua menteri Pakatan Harapan.

Beliau turut meminta polis mendedahkan tindakan yang diambil ke atas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur ancaman keganasan terhadap penyokong pembangkang.

“Apakah alasan siasatan jenayah secara menyeluruh (full-scale) ke atas saya, adakah perhatian khusus ini kerana saya Ketua Menteri Pulau Pinang dari Pakatan Harapan? Boleh dedahkan berapa kali polis rakam kenyataan dari perdana menteri; tmbalan perdana, menteri dan menteri besar dari BN ke atas laporan polis yang dibuat ke atas mereka?

“Sudah pasti, polis tidak akan berbuat demikian dan ini jelas, satu amalan pilih kasih untuk mengganggu karier politik saya sebagai ketua menteri, jawatan dalam (parti) DAP dan persiapan menghadapi PRU14 nanti. Malah tiada tindakan diambil ke atas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor kerana meminta pelajar sekolah menyanyikan dan melaungkan slogan Umno di dalam sekolah,” katanya.

Guan Eng berkata, beliau telah mengarahkan kakitangannya menghubungi polis minggu hadapan bagi menguruskan perkara tersebut.

“Walaupun saya tidak setuju dengan tindakan polis untuk merakamkan kenyataan dan mengambil tindakan jenayah ke atas saya, saya tetap akan memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya mereka datang nanti,” katanya.

Minggu lalu, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan mengesahkan akan memanggil Guan Eng dalam masa terdekat bagi merakamkan percakapan berhubung dakwaan mengeksploitasikan kanak-kanak menerusi lagu bermelodi ABC berbaur politik.

Tindakan itu susulan tindakan Guan Eng menyanyikan lagu bermelodi ABC yang diubah liriknya kepada GST dan berbaur politik ketika melancarkan Pusat Tuisyen Rakyat di Flat Mutiara Idaman 2, Jelutong, di sini, Sabtu lalu.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment