Nelayan gembira temui semula bot yang hilang
TUMPAT - Sebuah bot nelayan laut dalam yang dilaporkan hilang dari pangkalan Kompleks Persatuan Nelayan Semerak, Pasir Puteh Feb lepas, dijumpai semula di laut Wilayah Chanthaburi, Thailand pada 1 Mac lalu.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga ACP Norzaid Muhammad Said berkata bot nelayan tempatan itu disyaki dilarikan oleh seorang awak-awak warga Thailand berusia 40 tahun yang bekerja dengan pemilik bot berkenaan.
รขBot tersebut dipercayai untuk dijual kerana ia telah dikesan di Wilayah Chanthaburi (sempadan Thailand dan Kemboja) pada 1 Mac lalu hasil kerjasama Pasukan Polis Marin dengan Royal Thai Marine Police Takbai," katanya kepada pemberita pada majlis penyerahan bot berkenaan daripada Royal Thai Marine Police kepada Pasukan Polis Marin di Pengkalan Kubor di sini, hari ini.
Norzaid berkata ketika bot itu ditemui kira-kira 370 batu nautika dari pantai Tok Bali, bot itu telah diubah suai termasuk dicat baru tetapi belum sempat nombor pendaftarannya ditukar.
Beliau berkata bot itu ditinggalkan kosong dan pihak berkuasa sedang mengesan suspek yang terlibat.
Sementara itu, pemilik bot tersebut, Mohd Faizam Abdullah berkata beliau menyedari bot bernilai RM450,000 yang dibelinya pada tahun lepas hilang di pangkalan tersebut kira-kira pukul 8 malam pada 19 Feb lalu. - Bernama
sumber: sinarharian
0 comments:
Post a Comment