Koleksi Sultan Johor meriahkan MBW 2018
SERDANG: Kereta beroda tiga Morgan dari Britain dan bas, antara koleksi kenderaan peribadi milik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, yang telah tiba di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang sempana Malaysia Bike Week (MBW) 2018.
Ketua Pegawai Operasi MAEPS, Norafizah Rahman, berkata untuk fasa berikutnya mereka akan membawa trak Mack dan Harley-Davidson milik Sultan Johor untuk dipamerkan kepada pengunjung pada acara yang berlangsung dari 23 hingga 25 Mac ini.
"Setakat ini, persiapan berjalan lancar dan kami di MAEPS amat berbesar hati apabila Sultan Johor memilih mengadakan pameran MBW itu di sini.
"Seramai 500 anggota polis akan bertugas sepanjang tiga hari program itu diadakan. Kami turut menyediakan ambulans dan pasukan paramedik sebagai persediaan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.
"Kami menjangkakan lebih 150,000 pengunjung dari seluruh Malaysia akan 'menyerbu' MBW kerana ia bukan sekadar pameran kenderaan biasa, malah turut menyediakan hadiah lumayan bernilai lebih RM500,000 , selain pelbagai aktiviti menarik sesuai untuk semua lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui di MAEPS, di sini, hari ini..
Objektif MBW 2018 adalah menggabung dan merapatkan semua Persatuan Permotoran Malaysia bagi memupuk nilai peribadi dan kerjasama yang tinggi dalam kalangan penunggang di segenap peringkat umur.
Acara itu juga memberi peluang kepada syarikat tempatan untuk mempromosikan produk permotoran tempatan serta membantu individu menjual dan membeli motosikal pada harga terpakai.
Media Prima Berhad (MPB) selaku antara rakan media rasmi acara MBW akan turut menganjurkan konsert membabitkan barisan artis popular pada acara itu.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment