Najib hadir sidang pleno
SYDNEY: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadiri sesi Pleno Pemimpin , segmen utama Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 di sini, hari ini.
Sesi yang dihadiri pemimpin 10 negara ASEAN itu bermula dengan ucapan pembukaan oleh Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull diikuti ucapan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Singapura ialah pengerusi ASEAN ketika ini dan sesi Pleno Pemimpin adalah acara utama sidang kemuncak itu, yang mengetengahkan pelbagai peluang untuk menjalin kerjasama lebih rapat dalam bidang kepentingan bersama.
Ini termasuk usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia sehinggalah memperkukuhkan lagi kerjasama dalam maritim serta menjana lebih banyak peluang untuk rakyat dan perniagaan.
Ia turut memberi tumpuan pada perdagangan, pembangunan ekonomi, menangani keganasan dan keselamatan siber.
Selepas sesi pleno itu, terbabit berkenaan akan menghadiri jamuan tengah hari sambil menyambung perbincangan penting itu, disusuli Pemukiman Pemimpin yang menggalakkan perbincangan berhubung perkara teras dan keutamaan dalam suasana tidak formal.
Ini kali pertama Australia menjadi tuan rumah sidang kemuncak dua hari yang bermula semalam itu, yang dianjurkan untuk membincangkan hala tuju serta kerjasama antara ASEAN dan Australia selain memperingati peningkatan hubungan ASEAN-Australia ke taraf rakan strategik.
Sidang Kemuncak ASEAN-Australia itu merangkumi tiga sesi iaitu Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia dan Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia. - BERNAMA
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment