Najib hadir sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia

Friday, March 16, 2018

Najib hadir sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia

Najib hadir sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia

SYDNEY: Canberra melihat Kuala Lumpur sebagai rakan kongsi strategik terbesar dalam menangani ancaman ektremism dan keganasan global.

Kota kosmopolitan Sydney juga bakal menjadi saksi kepada Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia 2018 yang pertama, sekali gus mengorak percaturan formal baharu untuk Australia dan ASEAN dalam menangani ancaman pengganas secara efektif.

Australia yang menjadi rakan dialog ASEAN sejak 1974, bakal duduk semeja bersama pemimpin rantau itu, bagi mengorak langkah terbaik dan efektif dalam memperbaharui dan meningkatkan kerjasama sedia ada, selain perkongsian strategik.

Malah, komitmen dan kejayaan Kuala Lumpur dalam menangani keganasan turut mendapat perhatian.

Keyakinan Canberra terhadap Malaysia, menjadi antara sebab utama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, diminta berkongsi wawasan dalam subjek berkenaan yang menjadi kebimbangan utama di seluruh dunia.

Najib dan rakan sejawatnya, Malcolm Turnbull, akan menyampai ucaptama masing-masing pada penutup Persidangan Anti Keganasan Australia.

Perdana Menteri adalah satu-satunya pemimpin Asean yang diberi penghormatan itu.

"Ini adalah pengiktirafan kepada kepimpinan dan keazaman beliau dalam menangani wabak pengganas," kata Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Ramlan Ibrahim ketika ditemui media Malaysia, semalam.

Najib tiba malam ini dengan ditemani isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman bersama pegawai dari Pejabat Perdana Menteri serta Kementerian Luar dan Kementerian Dalam Negeri.

Najib dijadual menghadiri Sidang Kemuncak Perniagaan ASEAN-Australia, selain Sidang Kemuncak Forum Ketua Pegawai Eksekutif (CEO). Najib dan Turnbull juga terbabit dalam mesyuarat dua hala pada acara sampingan sidang kemuncak itu.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kerjasama negara masing-masing dalam bidang pertahanan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.

Tuan rumah juga akan mengadakan sesi minum petang untuk membincangkan Pelan New Colombo, di mana pemimpin ASEAN akan bertemu dengan pelajar Australia yang melanjutkan pengajian di rantau itu di bawah pelan berkenaan, selain membincangkan kaedah untuk melanjutkan inisiatif terbabit.

Selanjutnya, diikuti majlis penutup Persidangan Pencegahan Keganasan ASEAN-Australia.

Sidang Kemuncak Khas ini menandakan kematangan hubungan Canberra dengan negara-negara Asia Tenggara, selain memperkenalkan Deklarasi Sydney yang menjanjikan pengukuhan perkongsian ekonomi dan strategik ASEAN-Australia, malah, menyediakan persekitaran lebih selamat dan makmur di rantau itu.

Sementara itu, Rosmah dijadualkan menghadiri sesi ramah mesra dengan pasangan ibu dan anak dari Malaysia di Taman Centennial.

Menjelang sidang kemuncak ini, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, terlebih dahulu berkenan mencemar duli menghadiri dan menyampaikan ucaptama pada dialog ASEAN-Australia pada 12 Mac lalu.

Jumlah perdagangan Australia dengan negara Asean pada tahun 2016-2017 adalah lebih AUD$100 bilion, melebihi Amerika Syarikat dan Jepun.

Tahun lalu, Malaysia adalah rakan kongsi kesembilan terbesar Australia. Dalam kalangan antara negara ASEAN, Malaysia adalah negara kedua terbesar perdagangan Australia, selepas Thailand.

Australia adalah rakan kongsi perdagangan ke-12 negara, tahun lalu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment