Naikkan nilai tunggakan cukai LHDN selesaikan banyak masalah

Saturday, March 17, 2018

Naikkan nilai tunggakan cukai LHDN selesaikan banyak masalah

Naikkan nilai tunggakan cukai LHDN selesaikan banyak masalah

BAGAN DATUK: Cadangan supaya Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menaikkan had tunggakan cukai bagi sekatan perjalanan ke luar negara adalah proaktif dan dapat mengurangkan banyak masalah rakyat, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menaikkan tunggakan bagi sekatan dari RM2,000 kepada RM10,000 bagi pembayar cukai individu dan RM50,000 bagi syarikat wajar kerana penetapan nilai sedia ada menyebabkan berlakunya bebanan yang cukup besar kepada individu berkenaan termasuk jika mahu mengerjakan ibadah tertentu.

Katanya, dengan menaikkan jumlah tunggakan kepada RM10,000 bererti bilangan individu yang tidak akan dibenarkan ke luar negara ini berkurangan.

"Kita harus juga perlu melihat bahawa pindaan kepada peraturan oleh Jabatan Insolvensi untuk peminjam supaya setiap tahun untuk dihapuskirakan (tunggakan) kerana mereka yang tergolong sebagai penjamin yang terpaksa menanggung pinjaman yang dibuat oleh orang lain,dan mereka tidak dapat membayar biarpun mereka sebagai penjamin.

"Mereka ini bukanlah 'beneficiaries' (penerima manfaat) kepada pinjaman berkenaan.

"Oleh yang demikian, langkah dicadangkan oleh PAC ini amat dialu-alukan dan saya akan memantau supaya pelaksanaannya, jika dipersetujui di peringkat dasar, untuk digunapakai dalam tempoh yang sesegera mungkin.

"Di samping itu, saya akan mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia, (Datuk Seri Mustafar Ali), selepas keputusan pengoperasian ini diperolehi kelak, semua kaunter (imigresen) ke luar negara akan terus melaksanakannya kerana ini termasuk kepada mereka yang mahu ke luar negara, terutama atas urusan ibadah.

"(Pada masa ini) Mereka (individu yang mahu keluar negara melakukan ibadah tetapi dikenakan sekatan) terpaksa memohon pengecualian sementara oleh Jabatan Insolvensi yang akan meluluskan secara individu kepada pemohon yang mendapatkan pelepasan sementara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Usahawan dan Pelancaran Kelab Usahawan Sahabat Amanah Ikhtiar Bagan Datuk (KuSABDA) Wilayah Perak Selatan di Dewan Warisan Dato' Lope Hashim di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya; Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Dr Zubir Harun dan Pengerusi KuSABDA, Datin Asiah Mohd Dom.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi PAC, Datuk Seri Hasan Ariffin, yang mencadangkan perkara itu kerana had sekatan sedia ada tidak sesuai dengan keadaan ekonomi semasa.

PAC turut mengesyorkan sebelum sekatan dikenakan, LHDN perlu memastikan notis tunggakan cukai disampaikan kepada individu atau syarikat mengikut undang-undang seperti diamalkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Sistem penyampaian LHDN juga perlu dinaik taraf dengan menggunakan teknologi baharu seperti sistem pesanan khidmat ringkas (SMS), WhatsApp atau emel dalam menyampaikan notis peringatan tunggakan cukai atau sekatan perjalanan ke luar negara.

Hasan membuat kenyataan berkenaan mengenai Laporan PAC berhubung Pengurusan Sekatan Perjalanan Ke Luar Negara di bawah Kementerian Kewangan dan LHDN di Parlimen, semalam.

Timbalan Perdana Menteri berharap cadangan PAC itu akan disambut oleh bukan hanya pihak yang terbabit tetapi suatu dasar yang harus mendapat dokongan daripada semua pihak.

Ditanya sama ada cadangan itu perlu diangkat ke peringkat Kabinet untuk dilaksanakan, beliau berkata; "Ia boleh dibawa untuk pengesahan peringkat dasar kepada Mesyuarat Kabinet dan pelaksanaannya akan disampaikan kepada Kementerian Kewangan, selanjutnya kepada Jabatan Insolvensi dan Jabatan Imigresen.

"Di peringkat pengoperasian pula tidak begitu sukar untuk dilaksanakan selepas adanya keputusan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment