Mangsa banjir terima wang ihsan

Thursday, March 22, 2018

Mangsa banjir terima wang ihsan

Mangsa banjir terima wang ihsan

JERTIH - Sebanyak RM1.84 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan untuk wang ihsan kepada mangsa banjir musim tengkujuh tahun 2017 dan 2018  di negeri ini.

Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Azizan Abu Taat berkata, jumlah tersebut adalah bayaran sebanyak RM500 seorang kepada 3,680 mangsa banjir.

Menurutnya, bantuan tersebut disalurkan kerajaan pusat melalui Nadma dan pembayaran tunai sudah dimulakan di negeri ini bermula di Besut.

“Jumlah itu tidak termasuk bantuan tambahan daripada kerajaan Terengganu sebanyak RM500 menjadikan setiap keluarga menerima bantuan RM1,000 dan melibatkan jumlah bantuan keseluruhan berjumlah  RM3.68 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Program Kesedaran Pengurusan Bencana peringkat komuniti dan Agihan Wang Ihsan bantuan banjir 2017/2018 daerah Besut di Dewan Majlis Daerah Besut, Gong Kemuntong yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, Nawi Mohamad.

Azizan berkata, Kemaman mencatatkan bilangan penerima paling ramai iaitu 1,709 orang diikuti Hulu Terengganu (586), Besut (519), Setiu (267), Dungun (203), Kuala Nerus (172), Marang (156) diikuti Kuala Terengganu seramai 68 orang.

Menurutnya, wang Ihsan itu diberi kepada seisi keluarga dan penduduk yang dilanda banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) serta mendaftar untuk bantuan wang ihsan ini.

Dalam pada itu kata beliau, sebelum penyerahan wang tersebut di Besut, semua penerima terlebih dahulu mengikuti program ceramah kesedaran banjir dan soal jawab.

“Menerusi program ini ketua-ketua jabatan agensi berkaitan termasuk Pegawai Daerah Besut dan Ketua Polis Daerah terlibat di samping agensi berkaitan lagi,” katanya.

 


 



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment