'Sistem mampatan udara pecah bukan sabotaj'

CYBERJAYA: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) mewujudkan jawatankuasa khas bagi menyiasat kejadian sistem mampatan udara pecah di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) Bukit Badong, Ijok, Selangor, 6 Mac lalu.
Pengerusi SPAN, Liang Teck Meng, berkata jawatankuasa berkenaan akan menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadian terbabit.
Beliau berkata, SPAN sudah menghantar surat kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) meminta laporan lengkap berhubung kes berkenaan.
"Kami dijangka menerima laporan itu pada 23 Mac," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau turut menyangkal dakwaan kerajaan Selangor kononnya SPAN gagal melaksanakan tanggungjawabnya dalam menangani insiden di SSP3 itu.
Teck Meng berkata, SPAN hanya bertanggungjawab mengawal dan memantau industri perkhidmatan air dari segi aspek ekonomi, teknikal dan sosial menerusi pelaksanaan Akta Industri Perkhidmatan Air.
Menurutnya, SPAN melawat loji SSP3 pada hari kejadian dan menjalankan audit pada sistem paip di loji itu.
"Kami turut meminta SPLASH mempercepat kerja penyelenggaraan selepas lawatan itu, maka tidak berasas untuk mendakwa SPAN gagal melakukan tugas.
"SPAN ingin menekankan tiada unsur sabotaj dalam kejadian itu," katanya.
Januari lalu, katanya, SPAN turut mengesan pengurangan pengeluaran air dirawat di loji SSP3 daripada purata 820 juta liter sehari (mld) kepada 795 meter mld.
Teck Meng turut meminta kerajaan negeri menghentikan tuduhan terhadap Kerajaan Persekutuan berhubung isu air di Selangor.
"Dua tahun lalu, kerajaan Selangor menyalahkan Kerajaan Persekutuan mengenai isu Semenyih (pencemaran air), tetapi tidak ada penemuan menunjukkan ia kesalahan Kerajaan Persekutuan.
"Jangan mempolitikkan isu ini, sebaliknya kerajaan Selangor perlu melihat semula perjanjian yang dibuat antara mereka dan empat syarikat konsesi air," katanya.
Pada 6 Mac lalu, lima pekerja yang terbabit dalam kerja-kerja pembaikan di SSP3 cedera parah apabila sistem mampatan udara di loji air berkenaan pecah.
Kejadian
itu ketika Lembah Klang mengalami krisis air, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada hampir tiga juta penduduk.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment