Mahabbah Walk 2018 kumpul dana RM45,000

SHAH ALAM: Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) berjaya mengumpul dana sejumlah RM45,000 melalui penganjuran larian amal 'Mahabbah Walk 2018' sempena Hari Buah Pinggang Sedunia yang berlangsung di Taman Botani Negara, di sini, hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah Pemegang Amanah YIDE, Ami Nardin Ishak berkata, dana yang diperolehi daripada penganjuran program itu akan digunakan untuk pembelian mesin dialisis bagi keperluan pesakit buah pinggang di Selangor.
"Alhamdulillah, penganjuran kali kedua ini dilihat lebih mendapat sambutan apabila kira-kira 700 penyertaan diterima berbanding 500 peserta pada tahun lalu.
"Kami juga berjaya mengumpul dana sumbangan daripada enam syarikat yang turut serta termasuk penganjur utama World Wide Holdings Berhad dan lain-lain," katanya ketika ditemui pada program larian amal 'Mahabbah Walk 2018' di sini, hari ini.
Berkenan hadir menyertai larian adalah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut hadir adalah Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Khusrin Munawi.
Beliau berkata, terdapat enam pusat dialisis yang diuruskan oleh MAIS dan setiap satu mempunyai kira-kira 12 mesin untuk kegunaan pesakit buah pinggang.
"Kos untuk satu mesin adalah RM45,000 dan kami memerlukan 20 mesin baharu bagi menggantikan mesin yang sudah lama," katanya.
Sementara itu, seorang peserta yang juga pesakit buah pinggang, Nik Hamsah Mamat, 62, berkata beliau seronok dapat menyertai larian amal bersama rakan-rakan sekerjanya.
"Saya dikesan menghidapi sakit buah pinggang kira-kira dua tahun lalu dan pergerakan agak terbatas selepas itu kerana sering keletihan.
"Bagaimanapun, apabila diajak oleh adik dan rakan kerja lama, saya teruja dapat keluar dan menikmati udara segar di sini malah jika larian ini diadakan tahun hadapan, saya ingin menyertainya lagi," katanya.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment