Kerjasama pastikan kemenangan BN di Pulau Pinang
BATU KAWAN: Lupakan pertikaian lampau, pertingkat kerjasama antara parti dan ambil berat kebajikan rakyat.
Itu mesej jelas yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, kepada Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.
Timbalan Pengerusi BN itu berkata, semua parti komponen BN perlu bekerjasama bagi memastikan kemenangan bersama pada pilihanraya tidak lama lagi.
Mengambil contoh Parlimen Batu Kawan, beliau berkata penduduknya sudah sekian lama menderita di bawah pentadbiran negeri diketuai DAP yang berkuasa sejak 2008.
"Saya katakan dua hari lalu, ketika lawatan ke sini, bahawa angin perubahan akan berlaku di seluruh negeri ini.
"Oleh itu, semua parti komponen perlu melupakan pertikaian lampau dan berubah dan memperkemaskan parti masing-masing bagi
memastikan kemenangan.
"Ini ada peluang terbaik kita untuk merampas kembali Batu Kawan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Bangunan UMNO Batu Kawan di sini, hari ini.
Parlimen Batu Kawan ketika ini dikuasai DAP, manakala tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tengah, Bukit Tambun dan Perai juga dikuasai antara DAP dan PKR.
Pada majlis itu juga, Zahid meluluskan peruntukan RM6 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.
Ini termasuk RM1 juta bagi Kelas KAFA Masjid Kampung Sekolah Juru, RM3 juta bagi pembinaan Masjid Perai dan RM2 juta bagi kegunaan empat parti komponen membantu mereka kurang berkemampuan dan institusi agama lain.
Zahid berkata, setiap parti komponen akan menerima RM500,000 bagi parti komponen BN di Pulau Pinang membuktikan semangat Kerajaan Persekutuan membantu penduduk Pulau Pinang tanpa mengira kaum.
Sementara itu, Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow merakamkan penghargaannya kepada Kerajaan Persekutuan atas bantuan yang diberikan.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment