Kekurangan tidak halang oku ceburi kejohanan paintball

Saturday, March 17, 2018

Kekurangan tidak halang oku ceburi kejohanan paintball

Kekurangan tidak halang oku ceburi kejohanan paintball

PORT DICKSON - Kekurangan yang ada tidak menghalang golongan orang kelainan upaya (OKU) untuk turut sama menceburi kejohanan sukan lasak ‘paintball’ yang lazimnya didominasi individu normal.

Kejohanan peringkat kebangsaan yang julung kalinya diadakan anjuran OKU Sentral itu disertai 36 pasukan membabitkan tiga kategori iaitu OKU fizikal dan berkerusi roda; OKU pembelajaran, pekak dan mental; serta OKU penglihatan, B1, B2 dan B3 campuran.   

Bekas pelakon aksi lagak ngeri yang juga peserta kejohanan tersebut Muhamad Fakhruddin Mohamed Akbar, 30, berkata kejohanan itu merupakan platform buat golongan OKU untuk sama merasai pengalaman dan pendedahan berkenaan sukan tersebut.

Muhamad Fakhruddin yang mengalami kecacatan di bahagian kaki selepas terjatuh  dari tingkat enam bangunan semasa melakukan lagak ngeri lapan tahun dahulu berkata meskipun berkerusi roda, semangatnya membara ingin tahu dan mendalami sukan berkenaan.

"Saya tidak kesal terhadap apa yang berlaku pada saya lapan tahun dahulu tetapi saya tetap bangkit dalam serba kekurangan kerana hidup masih perlu diteruskan dan terima kasih kepada penganjur kerana membuat aktiviti ini kerana saya amat rindu kenangan buat aksi lagak ngeri semasa saya sihat dahulu,” katanya kepada pemberita pada Pertandingan Paintball Kebangsaan OKU Sentral di sini, hari ini.  

Muhamad Fakhruddin turut menasihati mereka yang senasib dengannya agar tidak merasa terpinggir dengan kekurangan diri kerana setiap yang dilakukan bergantung pada kemahuan sendiri.

Kejohanan yang dianjurkan selama sehari di Port Dickson di bawah kelolaan OKU Sentral itu mendapat sambutan yang menggalakkan dan disertai  200 OKU dari seluruh negara.

Presiden Persatuan OKU Sentral Ras Adiba Radzi berkata kejohanan itu bertujuan memberi pendedahan, menaikkan semangat dan juga membantu mereka untuk menghilangkan tekanan disebabkan kekurangan yang mereka alami.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan kerana selepas satu jam saya memuat naik berkenaan kejohanan ini hampir 100 orang telah memaklumkan bahawa mereka akan menghadiri kerana sangat teruja dan ingin berjumpa dengan kenalan baharu,” katanya.

Ras Adiba yang juga  atlet sukan menembak Paralimpik dan  penyampai berita sambilan mencadangkan agar sukan paintball OKU itu dapat diketengahkan dalam kejohanan Paralimpik pada masa akan datang.

“Selepas ini mungkin pihak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dapat mempertimbang sukan lasak ini untuk disertai oleh OKU sebagai membuka lembaran baharu bagi sukan yang akan dipertandingkan di kejohanan Paralimpik,” katanya.

Beliau berharap agar cadangan tersebut dapat diberikan perhatian sewajarnya bagi membuka peluang dan ruang kepada golongan OKU untuk bergiat aktif dalam sukan lasak sekali gus boleh mengharumkan nama negara. - Bernama



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment