Guan Eng perlu jelaskan gambar bersama 'Datuk Seri'

Sunday, March 18, 2018

Guan Eng perlu jelaskan gambar bersama 'Datuk Seri'

Guan Eng perlu jelaskan gambar bersama 'Datuk Seri'

GEORGETOWN: Ketua Menteri, Lim Guan Eng, diminta memberi penjelasan berhubung gambar terkininya yang viral bersama seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, yang masih di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek terowong dasar laut.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata Guan Eng tidak lagi boleh memberi alasan beliau mengambil gambar dengan ramai orang seperti yang didakwanya ketika gambar pertamanya bersama ahli perniagaan itu tersebar.

Beliau berkata, Setiausaha Agung DAP itu perlu memberi penjelasan terperinci berhubung gambar terbaharu itu kerana beliau kini sudah tidak mempunyai sebarang pilihan kecuali menyatakan perkara sebenar.

"(Guan Eng) Jangan buang masa lagi dan sila cakap perkara sebenar. Bukan sebarang individu boleh duduk di dalam kereta bersama Ketua Menteri dan mengambil gambar bersama.

"Orang terbaik yang boleh menjelaskan perkara ini adalah beliau (Guan Eng) sendiri. Banyak persoalan timbul dan beliau perlu menjelaskan apa hubungan sebenar antara mereka," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Terdahulu, gambar menunjukkan Guan Eng dan ahli perniagaan terbabit ketika menaiki kereta dipercayai milik Pengerusi Consortium Zenith, Datuk Zarul Ahmad Zulkifli, disebar seorang pengguna Facebook bernama Sarah Farhana.

Pada keterangan gambar itu, Sarah Farhana turut memaklumkan ia dirakamkan pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan, mempersoalkan kewujudan gambar berkenaan yang dilihat 'lebih intim' berbanding gambar sebelum ini.

"Bagaimana mereka boleh berada bersama di dalam kenderaan yang sama? Adakah mereka mengambil perkhidmatan Uber besama? Guan Eng perlu jawab soalan ini kerana ia amat serius.

"Guan Eng juga tidak boleh lagi menunjukkan gambar Datuk Seri berkenaan dengan orang lain, beliau perlu jelaskan kepada rakyat," katanya.

Pada 11 Mac lalu, Pejabat Ketua Menteri menafikan Guan Eng mengenali secara dekat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri berkenaan.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya berkata, sebagai seorang pemimpin yang dikenali ramai, Guan Eng berhak untuk merakamkan gambar kenangan bersama sesiapa yang dikehendakinya.

Kenyataan itu susulan penyebaran sekeping gambar yang memaparkan Guan Eng berdiri di sebelah ahli perniagaan itu, yang dipercayai dirakamkan di kediaman Datuk Seri itu.

Ahli perniagaan berumur 38 tahun itu adalah individu yang ditahan SPRM pada akhir bulan lalu bagi membantu siasatan kes menerima wang berjumlah RM19 juta untuk menutup siasatan projek mega terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Hingga kini, Guan Eng masih menutup mulut dan gagal menjelaskan hubungan dan tujuannya berjumpa dengan ahli perniagaan berkenaan.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment