ECRL rancak pembangunan Kuala Selangor

Friday, March 16, 2018

ECRL rancak pembangunan Kuala Selangor

ECRL rancak pembangunan Kuala Selangor

KUALA SELANGOR - Kuala Selangor cukup terkenal dengan kesan peninggalan sejarah di Bukit Melawati kini berubah wajah menjadi sebuah daerah yang membangun ke arah status perbandaran.

Limpahan pembangunan Lembah Klang membolehkan daerah itu berkembang pesat, lebih-lebih lagi cadangan projek Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) dan Lebuhraya Pantai Barat yang akan melalui daerah berkenaan.

Pembangunan rancak di Saujana Utama, Hillpark dan Puncak Alam, seiring kemajuan projek Hospital Perubatan UiTM Selangor yang bakal menjadi mercu tanda pintu masuk Kuala Selangor.

Lebih menarik, tumpuan pelancong ketika ini bukan sahaja tertumpu di Bukit Melawati dan Kompleks Pelancongan Kelip-Kelip, tetapi juga di kawasan beting pasir dikenali sebagai ‘sky mirror’.

Tarikan ‘sky mirror’ yang juga fenomena Salar De Uyuni iaitu pantulan imej seakan-akan cermin seperti di negara Bolivia ini, hanya berlaku setiap awal tiga hari dan lima hari di penghujung kalendar lunar Cina.

Daripada sudut politiknya, Parlimen Kuala Selangor mempunyai tiga kawasan Dun iaitu Bukit Melawati (N10), Ijok (N11) dan Jeram (N12), yang mana kerusi Parlimen Kuala Selangor, Melawati dan Jeram dikuasai Umno/BN.

Projek ECRL dan Lebuhraya Pantai Barat yang melalui daerah Kuala Selangor memberi impak pembangunan.

Hanya satu kerusi di Dun Ijok masih kekal milik PKR untuk dua penggal sejak pilihan raya umum terdahulu.

Berdasarkan PRU13, kerusi Parlimen Kuala Selangor disandang Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dengan 27,500 undi menewaskan calon Pas ketika itu, Dr Dzulkifli Ahmad dengan perbezaan 460 undi.

Bagi kerusi Dun Bukit Melawati yang dimenangi Umno, penyandang terkini Jakiran Jacomah (7,296 undi) sebelum ini menewaskan calon PKR, S Manikavasagam (6,490 undi) dengan majoriti 806 undi.

Manakala bagi kerusi Dun Jeram, penyandang tiga penggal berturut-turut, Datuk Amirudin Setro (Umno) menewaskan calon Pas, Muhd Rashid Muhd Kassim dengan majoriti 2,834 undi.

Namun, bagi kerusi Dun Ijok, PKR masih kekal untuk dua penggal apabila Dr Idris Ahmad memperoleh 8,522 undian menewaskan calon MIC, KR Parthiban yang hanya memperoleh 7,783 undi.

Sementara itu, Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor, Azman Dahlan menjelaskan, hab pendidikan dan kesihatan seimbang di daerah ini apabila wujudnya dua hospital baharu.

Azman Dahlan

“Kuala Selangor akan memiliki satu hospital baharu di Tanjong Karang bagi menggantikan Hospital Tanjong Karang, manakala satu lagi projek Hospital Perubatan UiTM Selangor giat dibangunkan di Puncak Alam.

“Dengan wujudnya institusi pengajian tinggi awam dan swasta di daerah ini, pastinya keperluan pendidikan dapat dibangunkan, bahkan menarik lebih ramai ke Kuala Selangor.

“Pembangunan ini juga mampu memangkin pembangunan perniagaan dan merancakkan lagi sektor pelancongan yang sudah menjadi identiti Kuala Selangor,” katanya.

Azman berkata, Kuala Selangor sudah cukup terkenal dengan eko pelancongannya dan MDKS mahu menambah tarikan kepada hab pelancongan kesihatan serta pendidikan.

“MDKS juga dalam usaha menaiktarafkan daerah ini ke arah perbandaran kerana Kuala Selangor adalah daerah kedua terbesar dalam Selangor dengan populasi suku juta penduduk.

“Malah merujuk rekod MDKS, seramai 60,000 pegangan bercukai di daerah yang cukup berpotensi untuk perkembangan maju ini,” katanya.

Berkongsi agenda pembangunan MDKS katanya, beliau mengharapkan misi MDKS dalam pembangunan ekonomi hijau, pemeliharaan alam sekitar, warisan sejarah dan kehidupan berkualiti dapat direalisasikan.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment