Kes Dun Rantau: Nasib Tok Mat belum pasti

Tuesday, August 28, 2018

Kes Dun Rantau: Nasib Tok Mat belum pasti

Kes Dun Rantau: Nasib Tok Mat belum pasti

SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Seremban menolak permohonan bantahan Adun Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Presiden Umno untuk membatalkan petisyen PRU14 bagi kerusi Dun Rantau, difailkan calon PKR, Dr S Streram.

Hakim  Datuk Azimah Omar membuat keputusan itu, setelah meneliti dan mempertimbangkan segala afidavit dan hujahan bertulis yang difailkan kedua belah pihak.

Menurutnya, responden pertama iaitu Mohamad telah bangkitkan lapan ketidakpatuhan petisyen pempetisyen terhadap kehendak dari segi undang-undang Akta Pilihan Raya 1958.

"Atas alasan itu, responden satu telah bangkitkan bahawa pempetisyen yang dikemuakan adalah remeh, menyusahkan serta wujud penyalahgunaan mahkamah.

"Mahkamah tak berhasrat untuk beri alasan terperinci terhadap semua itu dibangkitkan tetapi memadai untuk buat keputusan," katanya.

Menurutnya, ketidakpatuhan yang ditimbulkan oleh responden pertama iaitu Mohamad tidak mempunyai merit dan alasan tersebut tidak mewajarkan petisyen dan pempetisyen ini dibatalkan.

"Mahkamah berpandangan petisyen ini bukanlah petisyen yang boleh dibatalkan dan bukan tidak boleh dipertahankan," katanya.

Mahkamah menetapkan bermula 12, 13, 14, 27 dan 28 September serta 1 dan 2 Oktober depan adalah tarikh perbicaraan untuk Mohamad termasuk Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dun Rantau, Amino Agos Suyub dan SPR yang diputuskan pada 8 Ogos lalu.

Mohamad yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan diwakili lima peguam diketuai Datuk Hafarizam Harun, Syed Faisal Syed Abdullah, Abu Bakar Isa Rahmat, Yazid Mustaqim dan Iqhmal Syafiq Azim.

Manakala Streram diwakili empat peguam iaitu Hanif Kathri, Muhammad Rafique Rashid Ali, GP Sreekanth dan S Sathia.

Streram memfailkan petisyen pada 23 Mei lalu, bagi  memohon supaya mahkamah membatalkan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang memutuskan Mohamad menang tanpa bertanding pada PRU14.

Manakala Mohamad memfailkan bantahan petisyen tersebut pada 23 Jun lalu.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Streram memberitahu hari ini keadilan dibuktikan dan perkara berkenaan tidak sepatutnya dibawa ke mahkamah jika beliau dibenarkan masuk menghantar borang pencalonan pada PRU14.

Mohamad pula berkata, beliau akan meminta peguamnya untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan secepat mungkin yang boleh dilakukan di dalam tempoh 14 hari.

"Saya mempunyai alasan kuat, iaitu saya tidak ada kena mengena dengan apa yang menimpa Streram.

"Saya boleh duduk di kandang saksi. Saya hanya sekadar seorang calon dan berada di tempat itu untuk menghantar borang pencalonan dan duduk di dalam dewan sementara proses penamaan calon selesai," katanya.



sumber: sinarharian

0 comments:

Post a Comment