Dr Mahathir burukkan imej negara

Friday, March 16, 2018

Dr Mahathir burukkan imej negara

Dr Mahathir burukkan imej negara

KUALA LUMPUR: Pergerakan Wanita UMNO mengecam tindakan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana memburukkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, dalam wawancara dengan media Australia semalam.

Ketuanya, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata tindakan Dr Mahathir itu beremosi dan memburukkan imej negara saja.

Katanya, pergerakan itu tidak boleh terima tindakan terbabit yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang bekas Perdana Menteri.

"Tidak sepatutnya bekas Perdana Menteri mengeluarkan kata-kata begitu, kita ahli UMNO pernah bersamanya semasa zaman beliau berhadapan pelbagai tohmahan.

"Waktu itu kita bekerja sebagai satu pasukan dan sebab itu beliau boleh jadi Perdana Menteri sehingga 22 tahun, " katanya pada sidang media selepas merasmikan program Kidstart@Probiz anjuran Wanita UMNO Kepong di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir dalam wawancara media terkemuka Australia, ABC News, yang antara lain menyatakan Najib sebagai raksasa (monster) yang bertanggungjawab memusnah UMNO sebagai parti utama dalam Barisan Nasional (BN).

Dalam wawancara berkenaan, Dr Mahathir menafikan beliau sebagai pemusnah UMNO sebaliknya UMNO sudah musnah di bawah kepimpinan Najib dan mendesak Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull menjauhkan diri daripada bekerjasama dengan Najib.

Shahrizat, yang juga Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtias Wanita, Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau kesal dengan tindakan Dr Mahathir sejak kebelakangan ini, yang dilihat tidak munasabah.

"Tidak sepatutnya kata-kata kesat keluar daripada mulut bekas pemimpin negara. Sangat tidak berbaloi apa yang beliau buat, "katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai persiapan menghadapi pilihan raya, Shahrizat berkata Wanita UMNO sudah lama bersedia.

"Mengenai pencalonan Wanita UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), saya sudah berbincang panjang lebar dengan Presiden UMNO. Presiden tahu apa yang terbaik untuk Wanita UMNO dan kita tunggu saja, " katanya.

Mengenai nasibnya sebagai calon untuk PRU-14, beliau mengulangi pendiriannya untuk menyerahkan bulat-bulat perkara itu kepada Perdana Menteri.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment