CCTV definisi tinggi di Pulau Pinang
KEPALA BATAS: Polis Pulau Pinang akan menambah kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi di semua bandar utama negeri itu.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan, berkata ratusan CCTV sudah ditempatkan di bandar utama di negeri itu dan akan ditambah dengan CCTV berdefinisi tinggi bagi membantu siasatan dan membasmi jenayah.
"Polis juga menggesa pihak industri atau orang awam memasang CCTV berdefinisi tinggi di premis mereka dalam usaha mengekang jenayah dan membantu polis dalam sebarang siasatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perjumpaan Ketua Polis Pulau Pinang bersama Ahli Gabungan Enam Persatuan Industri Perkilangan Pulau Pinang 2018, petang tadi.
Beliau berkata, sejak Januari sehingga hari ini, indeks jenayah harta benda dan kekerasan di negeri itu menurun 10 peratus berbanding tahun lalu.
Katanya, ia bukan satu kayu ukur kejayaan polis kerana pihaknya masih mahu kadar itu diturunkan dengan lebih tinggi.
Beliau berkata, Pulau Pinang menyumbang kepada kepesatan pembangunan ekonomi di negara ini dan sememangnya keselamatan syarikat perkilangan di negeri itu menjadi keutamaan polis.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment