'Syukur, ada yang sudi bantu'

Thursday, March 22, 2018

'Syukur, ada yang sudi bantu'

'Syukur, ada yang sudi bantu'

ALOR SETAR: Panggilan yang paling menggembirakan Siti Norfatihah Norshahrin, 18, semalam adalah makluman daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) petang semalam, dia diterima masuk ke universiti itu.

Gadis itu yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, panggilan daripada UUM itu membuka lembaran baru dalam hidupnya bagi menempa kejayaan seterusnya membantu keluarga yang dihimpit kemiskinan.

"Saya rasa lebih bersemangat untuk keluar bekerja hari ini, pihak UUM meminta saya untuk menyerahkan beberapa dokumen serta slip keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi e-mail dalam masa terdekat.

"Saya difahamkan Naib Canselor UUM sendiri mahu membantu supaya saya ditempatkan di universiti awam (UA) itu, ..buat masa ini saya memilih untuk mengikuti program Asasi Pengurusan UUM sebelum ke peringkat seterusnya," katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Anak kedua daripada empat beradik itu berkata, dia sangat berterima kasih kepada pihak yang prihatin mengenai nasib keluarganya serta kepada UUM yang memudahkan urusannya untuk melanjutkan pelajaran ke universiti itu.

Malah bapanya, Norshahrin Halim, 45, turut mendapat khabar gembira apabila difahamkan Bahagian Keselamatan Universiti Putra Malaysia (UPM) turut bersedia membantu bagi mempercepatkan urusan mendapatkan bayaran pencennya.

"Saya sepatutnya mendapat bayaran pencen pada usia 55 tahun setelah 22 tahun berkhidmat sebagai pengawal keselamatan di UPM, saya harap unit keselamatan dan persaraan dapat membantu saya.

"Hingga kini, saya masih menunggu jawapan tindakan susulan yang sedang dilakukan unit terbabit, saya harap ada berita gembira buat saya supaya wang pencen itu dapat digunakan bagi menyara persekolahan anak-anak," katanya.

Semalam, NSTP melaporkan Siti Norfatihah dari Kampung Belakang Stadium terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di sebuah sekolah berhampiran rumahnya demi memastikan kelangsungan hidup mereka sekeluarga.

Dia tidak mempunyai pilihan kerana bapanya tidak mampu bekerja akibat masalah saraf dan tulang selepas kemalangan lima tahun lalu.

Norfatihah yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM iaitu 7A, 1B+, 1C dan 1D juga merancang untuk menyambung pelajaran ke UUM.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment