474 saman dalam Ops PeWA di Selangor

Friday, March 16, 2018

474 saman dalam Ops PeWA di Selangor

474 saman dalam Ops PeWA di Selangor

CYBERJAYA: Sejumlah 474 notis saman dikeluarkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap pemandu warga asing atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang lima hari Operasi Khas Mengesan Pemandu Warga Asing (Ops PeWA) di Selangor.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi dan Pengurusan JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman, berkata selain itu, sepanjang Ops PeWA yang dijalankan bermula 12 Mac lalu, 515 kesalahan dikesan dilakukan pemandu warga asing.

Katanya, tiada lesen memandu menjadi kesalahan paling tinggi dilakukan pemandu warga asing dengan jumlah 225, diikuti tiada lesen kenderaan motor dan tiada perlindungan insurans (145); kesalahan teknikal (61) dan tiada Lesen Kenderaan Perdagangan (GDL) (38).

"Selain itu warga asing yang paling ramai melakukan pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops PeWA di Selangor ini adalah warganegara Myanmar (30), diikuti Indonesia (14); Kemboja (sembilan); India (lapan); Pakistan (lapan); India (lima); masing-masing empat Syria dan Yaman.

"Ops PeWA ini dilaksanakan selaras dengan Pelan Tindakan Penguatkuasaan 2018 antaranya membanteras pemandu warga asing yang memandu kenderaan di Malaysia yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.

"Tujuan operasi khas ini bagi memastikan pemandu warga asing di negara ini patuh kepada peraturan dan undang-undang jalan raya di Malaysia seperti mempunyai lesen memandu dan pengenalan diri yang sah di sisi undang-undang sebelum dibenarkan memandu," katanya pada sidang media selepas Ops PeWA di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak 10 lokasi di Selangor menjadi tumpuan penguatkuasaan Ops PeWA termasuk Cyberjaya, Subang Jaya, Bandar Saujana Putra, Puchong, Sungai Buloh, Shah Alam, Klang, Kajang, Petaling Jaya dan Sepang.

Operasi sejak 12 Mac lalu yang berakhir hari ini membabitkan 74 pegawai dan anggota, selain turut disertai Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Dalam pada itu, beliau berkata dari Januari hingga Februari lalu, sejumlah 5,121 pemandu warga asing di seluruh negara dikesan tidak mempunyai lesen memandu.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment