Mansuh ECRL bukti Tun M mahu raih populariti

KUANTAN: Kenyataan Pengerusi pakatan harapan (PH), Tun Dr Mahathir Mohamad mahu memansuhkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) jika pakatan memerintah hanya untuk meraih populariti.
Ketua MCA Bahagian Kuantan, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata setiap projek mega yang ingin dilaksanakan kerajaan sudah tentu dikaji dan dibincangkan di beberapa peringkat sebelum diumumkan kepada rakyat.
"Dahulu Tun M (Mahathir) kata nak buat jambatan bengkok (menghubungkan Johor Bahru dan Singapura), adakah dia rasa projek itu tidak membazir wang rakyat?Sekarang dia kata projek ECRL menghabiskan duit rakyat.
"Sudah tentu sesuatu projek yang ingin dilaksanakan kerajaan akan dikaji bagi memberikan pulangan serta keuntungan kepada rakyat untuk masa hadapan," katanya ketika dihubungi NSTP, di sini, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Kuasa MCA Pusat, berkata kenyataan dikeluarkan Tun M tidak lebih kepada meraih populariti sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tidak lama lagi.
Katanya, kenyataan sedemikian juga untuk memancing undi selain mahu mengelirukan rakyat serta memberi kesan negatif daripada sudut ekonomi.
"Dulu dia (Dr Mahathir) kata Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) sebagai dedak, tetapi mengapa sekarang mereka kata hendak teruskan pula jika memerintah. Di situ menunjukkan pakatan pembangkang ketandusan idea," katanya.
Dr Mahathir ketika berucap pada Program Bicara Bersama Tun M Siri 2.0: Cabaran Ekonomi Anak Muda baru-baru ini berkata, pakatan pembangkang tidak menolak kemungkinan menghentikan projek ECRL jika mengambil alih Putrajaya kerana disifatkan satu pembaziran.
Katanya, projek yang menelan belanja kira-kira RM55 bilion itu juga tidak membawa manfaat dan tiada keperluan kemudahan itu disediakan untuk rakyat.
Lian Ker yang juga Pengerusi Biro Keharmonian Agama MCA, berharap rakyat, terutama penduduk di Pantai Timur dapat menilai dan membuat pilihan bijak mengenai projek infrastruktur yang memberi manfaat kepada mereka.
"Jika projek ini tidak mendatangkan faedah sudah tentu ahli ekonomi dan pemerhati politik tidak bersetuju kita (kerajaan) meneruskannya. Mereka nampak ia (ECRL) dapat menjana keuntungan dan memberi keselesaan kepada rakyat," katanya.
Beliau berkata, MCA sedaya upaya mencuba memberi penerangan secukupnya kepada rakyat mengenai kebaikan ECRL yang dijangka cuba dimanipulasikan pakatan pembangkang ketika kempen PRU14.
sumber: bharian
0 comments:
Post a Comment