Calon sering pindah, serlah sikap pembangkang - Siew Keong

Monday, April 30, 2018

Calon sering pindah, serlah sikap pembangkang - Siew Keong

Calon sering pindah, serlah sikap pembangkang - Siew Keong

TELUK INTAN: Tindakan calon pembangkang khususnya DAP yang sering berpindah kerusi jelas memperlihatkan sikap sebenar mereka yang bertanding hanya untuk menang tetapi tidak mahu berkhidmat.

Presiden GERAKAN yang juga calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah Siew Keong, berkata pembangkang turut mendakwa beliau takut mempertahankan kerusi Teluk Intan dan mahu lari dari kawasannya ke kawasan lebih selamat.

Bagaimanapun, katanya, dakwaan pembangkang untuk memburukkannya dan mengatakan dirinya takut akhirnya meleset apabila ternyata beliau bertanding semula di kawasan dimenanginya di Teluk Intan.

"Ramai mengatakan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), saya kalah lebih 7,000 undi dan sebagai Presiden GERAKAN, saya akan lari.

"Tetapi mana mungkin jika pada PRU-13 kalah, saya tak lari dan menang PRK (Pilihan Raya Kecil) pada 2014, saya lari kerana takut kalah pada PRU-14.

"Tetapi DAP sudah 10 penggal mereka tampilkan 10 calon tak sama, yang menang lari, yang kalah juga lari dan ini menunjukkan keikhlasan terhadap komitmen mereka di Teluk Intan sama ada benar-benar hendak tolong rakyat atau sebaliknya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mesra Bersama Yayasan Pesara Kerajaan di Taman Seri Setia, di sini, semalam.

Siew Keong berkata, DAP turut mengamalkan budaya kempen tidak sihat dengan memaki hamun ketika berkempen dan berjumpa pengundi.

"PRU adalah amalan demokrasi dan kita perlu memilih calon yang boleh menolong membangunkan kawasan, bukan calon yang membawa berita palsu, memaki hamun kerana ia bukan budaya kita.

"Cuba bandingkan apa yang dibuat mereka dengan yang saya lakukan selepas memenangi PRK 2014 untuk rakyat di sini," katanya.

Sementara itu, beliau turut menyelar tindakan provokasi dilakukan beberapa penyokong pembangkang yang didakwa mencabut bendera BN di kawasan Teluk Intan.

Katanya, tindakan itu hanya memburukkan keadaan dan tidak sepatutnya berlaku kerana PRU-14 ini, kempen sepatutnya perlu lebih berhemah.



sumber: bharian

0 comments:

Post a Comment